Kilang kitar semula diserbu

Pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah premis kitar semula sisa plastik.
Pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah premis kitar semula sisa plastik.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Selain kompaun, mesin pemprosesan turut disita! Itu antara tindakan dilakukan semasa operasi bersepadu diketuai Exco Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min ke atas kilang memproses sisa barangan plastik kitar semula di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, premis terbabit tidak memiliki kebenaran sebaliknya mendapatkan bekalan dari empat pemegang AP sekitar Kedah dan Pulau Pinang bagi menjalankan perniagaan kitar semula plastik.

“Kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) atas kesalahan beroperasi tanpa lesen selain Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menyita mesin yang digunakan kerana belum mendapat pematuhan ataupun permit dari JAS.

“Sebenarnya import plastik hanya pemegang AP sahaja yang boleh beroperasi tetapi kilang ini belum ada lesen, sebaliknya memproses plastik yang diperolehi dari pemegang AP lain dipercayai sejak enam bulan lalu,” katanya kepada media.

Operasi bermula jam 9 pagi itu melibatkan pelbagai agensi termasuk JAS, MPSPK, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis, Syarikat Air Darul Aman, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Operasi bermula jam 9 pagi dijalankan ke atas premis yang menjalankan proses kitar semula sisa plastik sekitar Sungai Petani.
Operasi bermula jam 9 pagi dijalankan ke atas premis yang menjalankan proses kitar semula sisa plastik sekitar Sungai Petani.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Kedah, Zaidi Tuah berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) berhubung tindakan empat pemegang AP yang bertindak membekalkan sisa bekalan untuk diproses kilang berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memohon JPSPN membuat semakan lesen serta memberhentikan operasi jika terdapat kesalahan di mana pemegang AP plastik lain yang memberi bekalan juga bakal berhadapan tindakan digantung lesen.

Artikel Berkaitan:

Operasi disasarkan dilaksanakan ke tujuh premis yang disyaki menjalankan proses kitar semula sisa plastik tanpa kebenaran sekitar Sungai Petani.

Sementara itu, Tze Min berkata, permohonan AP plastik masih ditangguhkan sementara satu keputusan dibuat kementerian, bagaimanapun, masih terdapat beberapa pemegang AP telahpun diberi kebenaran untuk menjalankan proses berkenaan sebelum penangguhan dibuat.

“Mereka bagaimanapun perlu mengemukakan dokumen tambahan tertentu bagi memenuhi pertambahan 18 syarat baharu yang dikenakan kerajaan bagi mana-mana pemegang AP plastik yang diambil dari luar negara sebelum meneruskan proses kitar semula plastik,” katanya.