Vin Diesel 'ganti' Paul Walker pada majlis kahwin anak mendiang

Vin Diesel mengiringi Meadow Walker pada majlis perkahwinan anak mendiang rakan baiknya itu dengan Louis Thornton-Allan. -Instagram
Vin Diesel mengiringi Meadow Walker pada majlis perkahwinan anak mendiang rakan baiknya itu dengan Louis Thornton-Allan. -Instagram
A
A
A

BUKAN sekadar rakan artis dalam filem, malah persahabatan mereka lebih daripada itu.

Biar pun Paul Walker sudah tiada lagi, namun nilai persahabatan mereka kekal sehingga ke hari ini.

Pada Jumaat, bintang filem itu hadir pada majlis perkahwinan anak mendiang rakan baiknya itu, Meadow Walker dengan pelakon Louis Thornton-Allan.

Walaupun mendiang ayahnya tiada di sisi, namun Diesel sudi 'menggantikan' Paul untuk mengiringi Meadow pada hari bahagia pasangan itu.

Meadow Walker, 22, berkongsi khabar gembira itu di Instagram pada Jumaat.

"Kami sudah berkahwin!!!!" kongsinya dalam video hitam putih pada majlis gilang-gemilang pinggir pantai.

Dalam klip itu, Meadow dilihat memakai gaun Givenchy 'halterneck' yang menawan, dipadankan dengan vel putih.

Vin Diesel kemudian muncul bersama pengiring pengantin perempuan serta rakan dan ahli keluarga yang lain.

Artikel Berkaitan:

Sumber memberitahu E! bahawa Vin Diesel yang juga ayah baptisnya mengiringi Meadow untuk lafaz perkahwinan.

Rakan-rakan dan peminat bintang tampil meninggalkan komen juga ucapan tahniah sempena hari bahagia pengantin.

Walaupun tidak dinyatakan lokasi majlis secara khusus, menurut Vogue, difahamkan kedua-dua pasangan itu berkahwin dalam upacara mewah di Republik Dominika.

Meadow walau bagaimanapun agak kecewa kerana situasi pandemik telah mencacatkan sedikit perancangan awal mereka.

"Pandemik Covid-19 telah menjejaskan perancangan kami.

"Keluarga Louis tidak dapat hadir.

"Ramai rakan karib yang kami anggap sebagai keluarga juga tidak dapat hadir akibat sekatan perjalanan," kata Meadow kepada Vogue.

Pasangan ini mengumumkan pertunangan beberapa bulan lalu selepas Meadow menunjukkan sebentuk cincin dalam video yang disiarkan pada Ogos.

Ayah Meadow, bintang "Fast and Furious" Paul Walker meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada tahun 2013 ketika anak perempuannya itu baru berusia 15 tahun. - Awani