'Berundinglah, jangan pertaruh nasib politik Melayu Islam di Melaka'

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Pas meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya berunding bersama semua parti Melayu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan permintaan tersebut menerusi ruangan komen di hantaran Facebook Ahmad Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk pada Jumaat.

“Maaf Datuk Seri (Ahmad Zahid). Berundinglah. Jangan dipertaruhkan nasib politik Melayu Islam di Melaka hanya kerana keyakinan UMNO telah kembali pulih.

“Inilah masanya untuk semua parti Melayu Islam duduk bersama memimpin umat,” tulisnya.

Dalam hantaran tersebut, Ahmad Zahid berkata, secara umumnya persepsi negatif rakyat terhadap UMNO sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Dulu sebahagian rakyat digoda dengan pelbagai janji manis dan hasutan politik kebencian terhadap UMNO. Hari ini orang Melaka sudah merasai dan mengetahui natijah politik tipu daya yang merosakkan seperti itu.

“Maka PRN Melaka langkah pertama untuk rakyat Malaysia memperbetulkan keadaan dan ‘restore’ (kembalikan) kemakmuran. Insya-ALLAH Melaka akan memilih UMNO dan BN kerana itulah kestabilan dan kemakmuran yang dirindui,” ujarnya.

Pada Selasa lalu, Ahmad Zahid berkata, UMNO masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk berdepan PRN Melaka pada November depan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, keputusan rasmi itu akan diumumkan apabila mesyuarat biro politik dan juga Majlis Kerja Tertiggi (MKT) UMNO diikuti BN yang akan diadakan pada minggu depan ataupun diputuskan sebelum hari penamaan calon.

Pada Khamis, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, partinya bersedia berhadapan dengan pertembungan tiga penjuru pada PRN Melaka sekiranya BN masih tidak memberikan kata putus berkenaan kerjasama antara dua parti tersebut.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN yang turut dianggotai oleh Pas itu sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain, namun parti itu tidak boleh boleh menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan.

PRN Melaka dilaksanakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada 4 Oktober lalu.

Keputusan itu dibuat selepas empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas)

tamat