Partey akhiri kemarau gol bersama Arsenal

Partey FOTO: Premier League
Partey FOTO: Premier League
A
A
A

BINTANG sensasi Ghana, Thomas Partey mengakhiri kemarau jaringan bersama Arsenal ketika kelab utara London itu membelasah Aston Villa 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi Sabtu.

Tandukan padu Partey pada minit ke-23 separuh masa pertama itu membuka buku akaun jaringannya selepas mengharungi 40 penampilan dalam semua kejuaraan sejak berpindah dari kelab La Liga, Atletico Madrid, 12 bulan lalu.

Keputusan di laman sendiri itu juga menyaksikan The Gunners melebarkan rentak tanpa kalah dalam enam perlawanan kelab tersebut.

Skuad kendalian Mikel Arteta terus garang selepas gol suntikan semangat itu apabila Pierre-Emerick Aubameyang melebarkan jaringan pada penghujung babak pertama untuk kedudukan 2-0.

Emile Smith Rowe pula mengesahkan kemenangan Arsenal dengan gol pada minit ke-56 sekali gus memacu kelab tersebut ke tangga kesembilan liga selepas sembilan perlawanan dengan 14 mata.

The Villans pula berjaya mengurangkan defisit menerusi jaringan Jacob Ramsey dalam perlawanan yang menyaksikan pelawat merekodkan kekalahan ketiga berturut-turut kelab kendalian Dean Smith tersebut.

Tiga mata tersebut kembali memberikan keyakinan kepada penyokong-penyokong The Gunners, selepas permulaan hambar dalam tiga perlawanan awal liga sebelum ini.

Artikel Berkaitan: