Lahirkan graduan ikut hasrat industri

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digalakkan untuk menumpukan pelaburan yang berteraskan keperluan terhadap tenaga kerja mahir dalam negara.

Penganalisis ekonomi dari Asia e University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, negara masih lagi banyak tertumpu kepada pekerja tidak mahir sehingga menyebabkan kebanyakan pekerja mahir kurang peluang pekerjaan.

“Kita hendaklah kembali kepada asas dengan menggalakkan pelaburan terhadap keperluan kerja mahir termasuk pelaburan yang menfokuskan mekanisasi dan kepintaran seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan bioteknologi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Shazali menambah, kerajaan juga perlu memberi insentif kepada industri kilang untuk menanggung kos latihan kepada pekerja-pekerja mereka bagi menambahkan kemahiran dalam bidang tertentu.

Katanya, sekiranya ada kilang yang memerlukan tenaga pekerja mahir, kerajaan harus memberi sokongan atau elaun supaya mereka tidak perlu menanggung kos latihan sepenuhnya yang boleh mengakibatkan kerugian.

“Misal kata, syarikat perlukan pekerja bidang mekanikal, jadi mereka perlu diberi latihan untuk buat kerja-kerja elektrik. “Jika pekerja-pekerja diberi latihan selama enam bulan, maknanya selama tempoh tersebut kerajaan perlu beri apa-apa insentif supaya kilang tidak menanggung rugi,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan politeknik melahirkan siswazah atau graduan yang memenuhi kehendak industri.

Shazali menjelaskan perlu ada satu tindakan penyelarasan untuk menyediakan data mengenai status pekerja yang diperlukan dalam sesuatu bidang bagi mengelakkan universiti di Malaysia mengeluarkan pekerja yang tidak diperlukan oleh industri. “Jangan keluarkan graduan dalam bidang yang sudah terlalu ramai. Cari bidang lain yang sememangnya diperlukan oleh industri. Bukan hanya sekadar seronok sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kadangkala pihak ini lahirkan graduan tanpa peduli kadar pengangguran yang tinggi dalam bidang tersebut, sedangkan ada bidang lain yang memerlukan tenaga kerja.

“Kerajaan dan IPT sendiri perlu peka tentang situasi semasa serta apa yang dikehendaki oleh negara. Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu tahu dan beri data-data kepada IPT supaya mereka tahu perancangan yang diperlukan oleh negara pada masa akan datang,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengusaha digalakkan untuk menambah daya saing melalui pelaburan bagi meningkatkan kapasiti yang boleh menggalakkan aktiviti ekonomi berasaskan nilai tambah yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, pelaburan untuk meningkatkan penggunaan mesin dan peralatan dalam sektor pembuatan akan menggalakkan penggunaan buruh mahir seperti kakitangan teknikal serta jurutera. “Justeru kerajaan perlu beri insentif cukai supaya dapat membantu menghala aktiviti ekonomi berasaskan nilai tambah yang lebih tinggi dan kompleks,” katanya.