X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Didik lelaki dalam isu jenayah seksual

Kamal Affandi (kanan) pada program Sinar Live bertajuk ‘#Rogol Bukan Lawak’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan mengenai jenayah seksual juga perlu diterapkan dalam kalangan lelaki, tidak hanya tertumpu kepada wanita sahaja.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berpendapat, ia perlu diseimbangkan agar kesedaran itu dapat diperoleh antara kedua-dua golongan tersebut.

“Kita selalu memikirkan bagaimana untuk mengelakkan wanita daripada menjadi mangsa, tetapi kita kurang memberikan pendidikan kepada lelaki. Kalau untuk wanita kita buat macam-macam kempen, jadi untuk lelaki juga kena seimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘#Rogol Bukan Lawak’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Kamal Affandi berkata, golongan lelaki juga perlu tampil ke hadapan dengan membantu meningkatkan tahap kesedaran berhubung jenayah seksual sekali gus memartabatkan kaum wanita dengan menjaga kehormatan mereka.

“Anda (kaum lelaki) perlu tampil ke depan dan bantu sama-sama. Tingkatkan kualiti sebab masing-masing boleh jadi pengacara, penganalisis, ketua, pemimpin yang bagus. Tetapi anda tetap lahir dari rahim seorang wanita.

“Jadi kita perlu mengangkat martabat wanita, malah kesantunan lelaki juga kita harus perbaiki,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kamal Affandi turut menyarankan agar kerajaan mewujudkan saluran talian atau pusat menangani ketagihan sama ada melibatkan jenayah seksual, pengambilan minuman alkohol, judi ataupun pornografi.

“Saya pernah maklumkan, kita perlu wujudkan talian atau pusat menangani ketagihan. Bukan sahaja untuk jenayah seksual, tetapi juga untuk alkohol, pornografi dan sebagainya. Jadi mereka ini boleh kita atasi secara klinikal.

“Kalau kita ada pusat untuk dadah kenapa tidak untuk ketagihan yang lain?” soalnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!