Piala Malaysia: Semua lawan NSFC diberi kemenangan percuma 3-0

No Image Caption
A
A
A

TIGA pasukan dalam Kumpulan C mendapat kemenangan percuma 3-0 selepas Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak meneruskan baki saingan Piala Malaysia 2021 susulan hampir keseluruhan pasukan itu positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menerusi kenyataan berkata, keputusan itu diambil dengan merujuk kepada Bahagian 13: Pematuhan SOP Penganjuran Perlawanan Piala Malaysia 2021.

Beliau berkata, sekiranya pegawai atau pemain didapati positif dan wajib menjalani kuarantin seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga menyebabkan pasukan tidak dapat menjalani latihan dan menyertai pertandingan, maka perlawanan yang melibatkan kelab terbabit akan dibatalkan.

“Dalam surat makluman kepada MFL, NSFC telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan baki saingan peringkat kumpulan dan tidak melibatkan pasukan-pasukan yang lain demi menjaga gelembung sukan bola sepak serta menjaga keselamatan pegawai dan pemain.

“Ini kerana NSFC melalui doktor pasukan dalam surat itu telah menjelaskan bahawa pegawai dan pemain yang positif akan memperoleh beberapa kesan sampingan akibat daripada jangkitan, antaranya penurunan tahap kecergasan fizikal dan kesan ‘detraining’, gelaja jangkitan post-Covid, kompilasi kardiovaskular dan kompilasi perubatan lain,” katanya.

Keputusan itu akan menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC memperoleh enam mata tanpa mengeluarkan keringat, manakala Melaka United dan Kelantan United masing-masing akan memperoleh tiga mata percuma.

Dalam baki empat perlawanan peringkat kumpulan, NSFC dijadual bertemu Kedah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 29 Oktober dan di Stadium Darul Aman, Alor Setar (2 November), Melaka United di Paroi (6 November) dan Kelantan United di Paroi (9 November).

NSFC mengumumkan tidak dapat meneruskan saingan Piala Malaysia musim ini selepas 20 pemain serta empat pegawainya disahkan positif Covid-19 dan mereka sedang menjalani kuarantin selama 10 hari.

Artikel Berkaitan:

Juara tiga kali itu yang kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2011, menduduki tempat ketiga Kumpulan C dengan tiga mata, selepas tewas 2-0 kepada Melaka United dan menang 1-0 ke atas Kelantan United.

Stuart yang menganggap insiden itu sebagai satu perkhabaran yang tidak diingini, berharap barisan pegawai dan pemain skuad Hobin Jang Hobin itu cekal dan tabah menghadapi ujian berkenaan sekali gus berharap akan kembali beraksi di pentas Liga Malaysia dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, beliau turut berharap pasukan-pasukan lain kekal berdisiplin dan menjaga gelembung sukan demi memastikan perjalanan pasukan dalam kempen Piala Malaysia 2021 tidak terjejas. - Bernama