MAFI dalam perancangan pinda Akta 728

Ronald (tengah) ketika melihat hasil pertanian yang akan dieksport ke Singapura pada lawatan di Kompleks Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar di sini pada Jumaat.
Ronald (tengah) ketika melihat hasil pertanian yang akan dieksport ke Singapura pada lawatan di Kompleks Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar di sini pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam perancangan untuk memuktamadkan beberapa cadangan pindaan akta dalam bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pindaan akta itu adalah bagi meluaskan lagi bidang kuasa jabatan itu bukan sahaja tertumpu di pusat, stesen mahupun premis kuarantin seperti yang berkuat kuasa kini.

"Pindaan akta ini (Akta 728 Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011) adalah bagi membolehkan Maqis mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan, serbuan dan penahanan di luar pintu masuk negara.

"Selain itu, pindaan juga akan memperkukuhkan lagi bidang kuasa bagi tujuan kawalan biosekuriti kepada semua komoditi pertanian berhubung aktiviti import dan eksport," katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan kerja dan pemantauan operasi import eksport produk pertanian di Komplek Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Jumaat.

Ronald berkata, Akta 728 akan menekankan kepada pengurusan kawalan biosekuriti yang lebih mantap termasuk meningkatkan kadar denda atau hukuman dikenakan dalam peruntukan kesalahan sedia ada.

Katanya, dalam usaha memantapkan lagi kawalan keselamatan industri makanan di negara ini, MAFI menerusi Maqis juga telah menambah baik kaedah pemantauan proses import dan eksport di pintu-pintu masuk negara.

"Usaha ini adalah dengan mengukuhkan lagi prosedur operasi standard (SOP) serta melaksanakan kawalan kemasukan hasilan pertanian bagi tujuan transit dan 'transhipment'," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat September 2021, Maqis telah berjaya mematahkan sebanyak 37 penahanan membabitkan kes cubaan membawa masuk dan keluar negara hasil agro makanan.

"Kesemua kes ini membabitkan nilai agromakanan sebanyak RM1.35 juta dan dilihat meningkat berbanding penahanan kes bagi sepanjang tahun 2020 iaitu sekitar 38 kes," katanya.