Penduduk dakwa sistem perparitan tidak disenggara punca kerap banjir

Laporan Sinar Harian mengenai peningkatan mangsa banjir di Melaka pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian mengenai peningkatan mangsa banjir di Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Rata-rata penduduk Taman Ayer Molek Seksyen 2 di sini menyalahkan sistem perparitan yang tidak disenggara sebagai punca kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk Nur Fadilah Kamaruddin, 28, berkata, tahun ini sudah tiga kali penduduk kawasan berkenaan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat kejadian banjir.

Beliau berkata, ia termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lepas, yang menyebabkan beliau bersama keluarganya terpaksa ‘berkampung’ di PPS ketika orang lain sedang bergembira menyambut lebaran.

Nur Fadilah berkata, kali pertama beliau berpindah ke PPS berkenaan adalah pada awal tahun ini, dan ini merupakan kali ketiga selepas hujan lebat melanda Melaka pada Rabu lepas.

"Ketika kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, saya sedang bekerja waktu malam manakala suami yang menjaga anak sedang tidur dikejutkan oleh jiran-jiran yang memberi amaran kerana air sungai semakin melimpah," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, banjir yang melanda kali ini mengakibatkan air naik setinggi paras lutut di kawasan rumah mereka, dan ia disifatkan paling teruk sehingga mengakibatkan kerosakan perabot serta peralatan rumah, dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM6,000.

Katanya, beliau berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah banjir yang berulang di kawasan mereka yang terletak berhampiran Sungai Ayer Molek supaya perkara itu tidak lagi mendatangkan kerisauan kepada mereka terutama setiap kali hujan lebat.

Seorang lagi penduduk Nasaruddin Seman, 35, dari Taman Rumah Awam Ayer Molek berkata, paras air di kawasan rumahnya mulai surut selepas hujan pada Rabu, namun Subuh semalam kediaman mereka kembali dinaiki air dalam jangka waktu yang pantas.

Artikel Berkaitan:

Penolong jurutera di sebuah universiti tempatan itu berkata beliau berdepan situasi banjir berulang kali sejak tahun lepas dan mengalami kerosakan harta benda hingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit setiap kali berdepan banjir.

"Kalau sebelum ini hanya rugi RM2,000 hingga RM3,000 kerana kerosakan perabot dan barangan rumah tetapi jumlah kerugian kali ini hampir RM8,000 termasuk tilam baharu yang dibeli. Kali ini situasi banjir lebih teruk kerana air naik dengan cepat dan saya memang tidak sempat selamatkan banyak barang di rumah," katanya.

Seorang lagi mangsa Hamidi Hamzah, 46, yang berpindah ke PPS itu bersama tujuh lagi ahli keluarganya turut berdepan dua kali situasi banjir pada tahun ini.

Katanya beliau berharap pihak berkuasa dapat membaik pulih sistem perparitan dan saliran di kawasan yang sering dilanda banjir supaya masalah itu dapat diatasi dengan segera dan tidak lagi menghantui mereka seperti yang berlaku ketika ini. - Bernama