Jawapan menteri mengenai rumah terbengkalai di Parlimen tepat

Laporan Sinar Harian pada 7 Oktober lalu mengenai projek perumahan swasta terbengkalai di Semenanjung setakat 30 September tahun ini.
Laporan Sinar Harian pada 7 Oktober lalu mengenai projek perumahan swasta terbengkalai di Semenanjung setakat 30 September tahun ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawapan yang telah diberikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Parlimen bahawa angka projek perumahan yang masih terbengkalai adalah 79 adalah satu jawapan yang tepat.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan pada Jumaat menyatakan bahawa, apa yang dimaklumkan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Parlimen itu, adalah seperti di dalam rekod Jabatan Perumahan Negara (JPN) yang melibatkan projek-projek yang telah disahkan sebagai projek perumahan swasta terbengkalai.

KPKT mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai penjelasan berhubung laporan sebuah portal berita pada 22 Oktober mengenai perbezaan jumlah projek rumah terbengkalai yang dimaklumkan Reezal Merican di Parlimen, dengan angka yang disenaraikan pada laman sesawang kementerian.

Laporan tersebut memetik jawapan Reezal Merican di Parlimen bahawa terdapat 79 projek rumah swasta yang terbengkalai setakat 30 September 2021 dan ia membabitkan lebih 17,000 unit dan 11,000 pembeli, sedangkan laman sesawang kementerian pula menyenaraikan sebanyak 198 projek rumah terbengkalai.

Kenyataan KPKT itu menyatakan maklumat yang dipaparkan di laman web di bawah tajuk “Projek Perumahan Terbengkalai” terdapat empat dokumen yang telah dimuat naik iaitu, I, Senarai Hitam Pemaju Projek Perumahan Swasta Terbengkalai; II, Senarai Projek Di Dalam Perancangan Pemulihan; III, Senarai Projek Sedang Dalam Proses Pemulihan; dan IV, Senarai Projek Dalam Kategori Projek Statik.

Kenyataan KPKT menyebut bilangan 79 projek yang dinyatakan oleh Reezal Merican itu telah dibahagikan mengikut kategori seperti di senarai II, III dan IV dan ia merupakan projek-projek yang masih belum selesai sehingga 31 Ogos 2021.

Menurut kenyataan itu, kenyataan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) dalam laporan portal berita itu berhubung angka 198 projek perumahan terbengkalai itu, adalah merujuk kepada senarai I iaitu 198 pemaju projek perumahan swasta yang melibatkan projek yang telah selesai dan belum selesai, yang disenarai hitam.

“Senarai pemaju yang terlibat dengan projek terbengkalai ini akan terus kekal dalam senarai hitam ini bagi tujuan pemakluman umum,” menurut kenyataan KPKT itu lagi.

Artikel Berkaitan:

KPKT menyatakan kekeliruan berkenaan perbezaan angka projek perumahan terbengkalai itu, telah dibincang dan dijelaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Projek Perumahan Swasta (JKKPS) pada 5 Oktober yang turut dihadiri oleh wakil HBA.

Walau bagaimanapun, KPKT sedang menambah baik paparan maklumat di senarai I supaya lebih mudah difahami dan dirujuk bagi memastikan kekeliruan tidak lagi timbul. - Bernama