Covid-19: Hanya 1.5 peratus kes baharu kategori tiga, empat, lima

Sebanyak 101 kes daripada 6,630 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada Jumaat melibatkan individu dalam kategori tiga, empat dan lima. (Gambar hiasan)
Sebanyak 101 kes daripada 6,630 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada Jumaat melibatkan individu dalam kategori tiga, empat dan lima. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya 1.5 peratus atau 101 kes daripada 6,630 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari Jumaat melibatkan individu dalam kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, kategori empat memerlukan bantuan oksigen dan kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, baki 6,529 kes atau 98.5 peratus pula, terdiri daripada mereka dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan. pada Jumaat.

Beliau berkata, sebanyak 7,630 kes sembuh pada Jumaat menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,311,213.

Menurutnya, terdapat 653 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 322 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, 12 kluster baharu dikenal pasti membabitkan enam kluster tempat kerja, tiga kluster pendidikan lain, dua kluster komuniti dan satu kluster keagamaan.

"Seorang kanak-kanak perempuan tempatan berusia tiga tahun menjadi kes indeks Kluster Jalan Enam Kampung Bahru di Sepang, apabila didapati positif pada 11 Oktober hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan pelajar-pelajar di sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan 6, Kampung Bahru Lanjut, Sepang. Individu mula bergejala pada 7 Oktober dan kini terdapat 14 individu telah dijangkiti daripada 27 saringan yang dijalankan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Kluster Jalan Dataran Wangsa pula, beliau berkata, seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun dikenal pasti sebagai kes indeks selepas dilaporkan positif pada 16 Oktober hasil saringan individu bergejala.

"Kes mula bergejala pada 13 Oktober dan hasil saringan bagi kluster yang melibatkan pelajar dan kakitangan pusat pendidikan di Jalan Dataran Wangsa 1, Wangsa Melawati, Titiwangsa ini mengesan 11 individu disahkan positif daripada 50 saringan dijalankan," jelasnya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. - Bernama