Tindakan tegas terhadap golongan enggan divaksin

Muhyiddin (tengah) melakukan pelepasan Kayuhan Santai Sempena Hari Sukan Negara Peringkat DUN Gambir di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, pekan Gambir, Tangkak, Muar pada Jumaat.
Muhyiddin (tengah) melakukan pelepasan Kayuhan Santai Sempena Hari Sukan Negara Peringkat DUN Gambir di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, pekan Gambir, Tangkak, Muar pada Jumaat.
A
A
A

MUAR - Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang enggan divaksin tanpa alasan kukuh walaupun jumlah mereka hanya kira-kira 10 peratus.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedegilan mereka membimbangkan dan tanpa disedari berisiko menjadi penyebar wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, golongan tersebut juga berpotensi merencatkan usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi malah mengganggu usaha untuk mencapai imuniti kelompok dengan lebih berkesan.

"Kerajaan patut pertimbang (jika) jadikan sebagai mandatori apakah dia ada halangan sama ada daripada segi perundangan atau Perlembagaan atau melakukan apa cara sekalipun supaya golongan yang menolak ini dapat diberikan nasihat untuk menerimanya.

"Kalau mereka tidak menerima vaksinasi, mereka tak boleh guna MySejahtera. Sebab kalau ada aplikasi ini, dia akan sediakan sijil vaksinasi yang mana kita perlu imbas untuk masuk ke tempat-tempat tertentu.

"Jadi kalau mereka tiada sijil, mereka secara semula jadi sudah menafikan hak untuk mendapat kemudahan sama ada ke restoran, masjid, hotel atau di mana sekalipun kerana ia kini sudah menjadi satu amalan biasa di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Tangkak di sini pada Jumaat.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir sebelum itu merasmikan Kayuhan Santai Sempena Hari Sukan Negara Peringkat DUN Gambir di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Ogos lalu, Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memutuskan untuk mempertimbang mewajibkan suntikan vaksin secara mandatori sebaik kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin selesai sepenuhnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sebelum ini tidak menguatkuasakan perkara berkenaan kerana tertumpu kepada usaha pemberian vaksin dengan segera.

Bagaimanapun beliau berkata, sudah tiba masanya untuk perkara tersebut diperhalusi berikutan ketika ini golongan menolak untuk divaksin itu kebanyakannya terpengaruh dengan berita tidak sahih yang disebarkan.