PH setuju cadangan pindaan kembalikan status Sabah, Sarawak

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada minggu hadapan.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sebelum ini berusaha berbuat demikian tetapi tidak berjaya kerana tidak ada majoriti dua pertiga.

“Pakatan Harapan pada dasarnya bersetuju menyokong usaha kerajaan ini memandangkan ia adalah sebahagian dari Perkara 5, Perjanjian Persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan.

“Justeru, PH tidak akan bermain politik tetapi akan memberikan sokongan dua pertiga kepada pindaan Perlembagaan ini agar hak rakyat Sabah dan Sarawak dapat diperkukuhkan,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pada Selasa, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah bersetuju dengan cadangan pindaan membabitkan Perkara 1(2) serta Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKMA63 hampir tiga jam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Sehubungan itu, Majlis Presiden PH berharap agar pindaan berkenaan akan mempergiat usaha melaksana segala perkara yang termaktub di dalam MA63 demi menegakkan keadilan buat Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Menurut mereka, pendirian itu juga adalah sebahagian dari usaha pimpinan PH sejak sekian lama, termasuk dalam mengiktiraf Hari Malaysia pada 2008, serta pendirian DAP di Parlimen yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 kerana telah mengubah dan menurunkan status Sabah serta Sarawak dari ‘wilayah’ menjadi ‘negeri’.

“Justeru, PH akan sentiasa berusaha memperjuangkan hak dan keadilan buat Sabah dan Sarawak,” kata mereka.