Tun M ambil perhatian masalah tanah wakaf di Butterworth

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau mengambil perhatian terhadap masalah yang menimpa penduduk tanah wakaf di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, Butterworth.

Berikutan itu, Dr Mahathir berkata beliau telah mengarahkan pegawainya untuk segera meninjau masalah berkenaan.

“Saya kini berada di Manila untuk lawatan rasmi tiga hari. Sebentar tadi, saya dimaklumkan mengenai masalah yang menimpa penduduk tanah wakaf di Butterworth melalui satu video perhimpunan di sana.

Saya telah arahkan para pegawai saya untuk segera ke sana bagi meninjau masalah itu,” katanya menerusi catatan dalam laman Twitter beliau, hari ini.

Dalam catatan itu, Dr Mahathir yang kini dalam lawatan tiga hari ke Filipina bermula malam tadi, turut memuat naik gambar beliau sedang menonton video kejadian itu.

Bernama hari ini melaporkan seorang anggota polis patah kaki sementara seorang petugas Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) cedera setelah diserang lima lelaki ketika kerja-kerja meroboh rumah di tanah wakaf itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lima lelaki itu antara 11 individu termasuk enam wanita berumur 18 hingga 50 tahun yang ditahan kerana cuba menghalang kerja-kerja meroboh itu pagi ini.

Beberapa petugas MAIPP telah pergi ke lokasi kejadian kira-kira 9.00 pagi untuk memulakan kerja-kerja meroboh namun terpaksa menangguhkannya selepas dihalang sebilangan penduduk di kawasan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: