ProtectHealth sasar peningkatan penglibatan pengamal perubatan swasta

ProtectHealth sasar lebih banyak penglibatan pengamal perubatan swasta bagi meluaskan lagi capaian pemberian dos penggalak ke seluruh negara. - Gambar hiasan
ProtectHealth sasar lebih banyak penglibatan pengamal perubatan swasta bagi meluaskan lagi capaian pemberian dos penggalak ke seluruh negara. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - ProtectHealth menyasarkan lebih banyak penglibatan pengamal perubatan swasta (PPS) bagi meluaskan lagi capaian pemberian dos penggalak ke seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, sehingga kini lebih 3,699 PPS telah berdaftar dengan ProtectHealth.

Menurutnya, sebanyak 2,352 PPS telah beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Covid-19 Remaja (PICK Remaja).

“Pelaksanaan pemberian dos penggalak akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth.

“ProtectHealth kini dalam usaha meningkatkan jumlah ini dan amat menggalakkan semua PPS yang berminat untuk menyertai PICK sebagai PPV serta berdaftar di laman web ProtectHealth (www.protecthealth.com.my).

“Bagi PPS yang telah menyertai taklimat dan latihan serta bersedia boleh memaklumkan kepada ProtectHealth melalui Vaksin Control System (VCS) untuk memulakan operasi sebagai PPV,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anas Alam berkata, ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta akan terus membantu mengurangkan bebanan Kementerian Kesihatan bagi mempercepatkan dan memperluaskan capaian vaksinasi dalam pemberian dos penggalak.

Jelasnya, sehingga 20 Oktober 2021, ProtectHealth telah berjaya menyumbangkan 48 peratus daripada jumlah keseluruhan vaksinasi di seluruh negara bersamaan 23,017,792 dos dalam PICK.

Artikel Berkaitan: