Putra Perak hantar memorandum bantah arak jenama Timah

Hamidah bersama Ahli Jawatankuasa Putra Perak menunjukkan memorandum bantahan yang dihantar ke KPDNHEP Perak di hadapan Bangunan Persekutuan Greentown, di sini pada Jumaat.
Hamidah bersama Ahli Jawatankuasa Putra Perak menunjukkan memorandum bantahan yang dihantar ke KPDNHEP Perak di hadapan Bangunan Persekutuan Greentown, di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak menghantar memorandum kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sebagai membantah kelulusan arak jenama Timah, di sini pada Jumaat.

Pengerusi Penyelarasnya, Datuk Hamidah Osman berkata, tindakan membenarkan penggunaan nama mengelirukan dan gambar lelaki berjanggut serta berkopiah seperti orang muslim amat tidak wajar kerana memperlekeh imej Islam.

Menurut beliau, perkara seumpama itu tidak harus dibiarkan dan kerajaan seharusnya lebih mengetahui sensitiviti kaum serta agama di negara ini apabila meluluskan jenama arak berkenaan.

"Hari ini kami nak maklumkan kami tidak retorik hanya bercakap di Facebook, tapi kami menyampaikan memorandum bantahan secara fizikal disebabkan kerajaan tidak sensitif.

"Bagaimana semudah itu meluluskan jenama yang ada kaitan dengan orang Melayu Islam kerana boleh menyebabkan keadaan tidak harmoni di negara ini. Sepatutnya tidak boleh sewenang-wenang diluluskan tanpa memikirkan implikasi kepada masyarakat di negara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui menghantar memorandum berkenaan di hadapan Bangunan Persekutuan Greentown, di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Timbalan Pengerusi Penyelaras Putra Perak, Ahmad Hasbullah Elias dan Ketua Wira Putra Perak, Shukrie Ibrahim.

Menurutnya, penyerahan memorandum itu akan turut disusuli oleh negeri-negeri lain dan selepas di Perak, Putra Kedah juga akan menyerahkan memorandum yang sama kepada KPDNHEP Kedah.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah berkata, kerajaan tidak perlu mengadakan sebarang perbincangan sebaliknya penggunaan nama tersebut perlu dibatalkan terus kerana jelas tidak sensitif terhadap umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bukan masa untuk kerajaan dan pembangkang saling tuduh menuduh mengenai kelulusan yang diberikan terhadap penggunaan jenama berkenaan sebaliknya pembatalan penggunaan nama tersebut harus disegerakan.

Pada 18 Oktober lalu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor antara tokoh yang membantah jenama arak berkenaan dengan menyifatkan tindakan itu tidak wajar serta penghinaan kepada umat Islam.

Selain itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut mengecam pengeluaran arak jenama Timah yang didakwa menghina agama Islam.

Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow berkata, produk minuman beralkohol itu dipercayai dikeluarkan oleh syarikat tempatan perlu diharamkan bukan sahaja ia menghina agama Islam malah berbahaya kerana kandungan alkoholnya sangat tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan menafikan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama tempatan iaitu Timah sebagaimana tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, adalah tidak wajar mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan.