Polis Perak bantu kesan dua beranak

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis Perak sedang mengesan dua beranak iaitu M Parameswaran, 64, dan anaknya P Kuganathan, 34, yang dikehendaki Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Mereka yang beralamat terakhir di Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin di sini, dikehendaki berhubung satu kes melibatkan pemalsuan dokumen surat akujanji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang menyalahgunakan nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya masih belum menemui dua individu dikehendaki tersebut.

"Kami akan bantu pihak Johor (IPK) tetapi setakat ini belum jumpa dua individu dikehendaki tersebut.

"Kami akan dapatkan info lanjut daripada pihak Johor dan berdasarkan alamat di Silibin, kami tiada maklumat mereka tinggal di sana. Kalau ada kami sudah 'pick up' mereka," katanya ketika ditemui selepas melawat wartawan Makkal Osai, R Letchumi yang menghidap strok di Taman Desa Pengkalan, Lahat di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai organisasi termasuk pertubuhan freemason yang menghargai petugas barisan hadapan.

"Bagi saya tiada kesalahan untuk mereka (freemason) beri. Ia bukannya ikut fahaman kerana yang penting mereka berniat baik untuk bagi sumbangan.

"Kami mengalu-alukan siapa saja yang nak beri sumbangan kepada polis dalam menghadapi tugasan harian, sama-sama berjuang untuk mengekang jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak nampak sebab kita boleh menghalang mereka daripada memberi sumbangan kepada sesiapa saja," katanya ketika mengulas mengenai sumbangan 5,000 pelindung muka oleh Pertubuhan Freemasons yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan warganet di media sosial pada Khamis.