Langkawi terima pelancong asing mulai 15 November

Langkawi bakal menerima pelancong asing menerusi gelembung pelancongan antarabangsa bermula 15 November depan.
Langkawi bakal menerima pelancong asing menerusi gelembung pelancongan antarabangsa bermula 15 November depan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Langkawi bakal menerima pelancong asing selepas gelembung pelancongan antarabangsa di pulau peranginan itu bermula 15 November depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang bermesyuarat pada Jumaat bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung pelaksanaan gelembung tersebut.

"Pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung ini perlulah memenuhi syarat dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, syarat dan pematuhan SOP yang ditetapkan melibatkan kumpulan sasaran iaitu pelancong berkualiti dan lengkap vaksinasi.

"Anak di bawah umur 18 tahun wajib hadir bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah divaksin lengkap," katanya.

Beliau berkata, senarai negara yang dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri.

"Tempoh tinggal pelancong asing adalah sekurang-kurangnya tiga hari," katanya.

Ismail Sabri berkata, tiada syarat kuarantin dikenakan untuk gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi.

Artikel Berkaitan:

"Pelancong perlu menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas ke negara ini dengan keputusan diwajibkan dalam bentuk digital atau cetakan," katanya.

Ujarnya, pelancong tersebut perlu memiliki insurans dengan jumlah minimum AS$80,000.