X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Tanggungjawab bersama kunci kejayaan pelaksanaan RMK12

Datuk Seri Mustapa Mohamed
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan secara sendirian tidak boleh melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), justeru tanggungjawab bersama adalah kunci kepada kejayaannya pada bulan-bulan dan tahun-tahun yang akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia berharap RMK12 boleh dibahaskan menerusi persidangan yang boleh memberikan kritikan membina kepada kerajaan.

Menurutnya, ketika negara berada dalam keadaan lega berikutan penularan pandemik Covid-19 yang semakin mereda, sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi tempoh selama hampir dua tahun lepas telah membawa kesan perit apabila ekonomi Malaysia menyusut sebanyak 5.6 peratus pada 2020, selepas mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus pada 2019.

“Meskipun pandemik mungkin akan berakhir tidak lama lagi, perjalanan di hadapan masih penuh dengan ranjau dan cabaran.

“Namun hikmah daripada pandemik ini adalah ia memberi peluang kepada kita memikirkan kembali cara-cara lama untuk melakukan sesuatu dan memperbaharui sebahagian daripada dasar kita,” katanya dalam ucap tama beliau semasa persidangan ‘2021 Isis Praxis Conference: Recovering Malaysia’ pada Khamis.

Mustapa berkata, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka yang sangat bergantung kepada perdagangan luar, Malaysia terjejas teruk akibat daripada pandemik itu apabila jumlah perdagangan merosot sebanyak 3.6 peratus pada 2020, selepas mencatatkan penurunan 2.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Di dalam negara, katanya, purata kadar pengangguran berada pada 4.5 peratus tahun lepas.

Seperti yang digariskan dalam RMK12, terdapat lapan cabaran utama yang perlu ditangani negara untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, katanya.

Cabaran ini termasuklah produktiviti rendah dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pelaburan berkualiti rendah, peralihan ekonomi berstruktur yang perlahan dan jurang tinggi dalam pembangunan antara negeri.

“Cabaran lain termasuklah ganjaran rendah bagi pekerja, manfaat terhad daripada penyertaaan dalam rantaian nilai global, gangguan konsolidasi fiskal jangka sederhana dan impak negatif daripada pertumbuhan ekonomi ke atas alam sekitar,” katanya.

Memetik penyelidikan oleh Bank Negara Malaysia mengenai isu buruh, Mustapa berkata, ia menunjukkan bahawa pekerja di Malaysia tidak dibayar setimpal dengan tahap produktiviti mereka dan isu ini kebanyakannya berlaku dalam industri berintensifkan buruh dan yang bergantung besar kepada pekerja berkemahiran rendah.

“Ketika syarikat-syarikat beralih kepada industri tokokan nilai tinggi, kita mahu melihat tahap produktiviti terus ditingkatkan dan para pekerja menerima ganjaran yang setimpal,” katanya.

Mustapa berkata, Malaysia perlu beralih daripada industri berintensifkan buruh kepada industri berkualiti tinggi dan untuk berbuat demikian, negara perlu menjadi hab pelaburan kukuh di rantau ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!