Ceroboh tanah pertanian: PATI, pemilik tanah berdepan tindakan tegas

Berita Sinar Harian pada 20 Oktober berhubung petani haram warga asing ceroboh tanah di sekitar Kampung Johan Setia. Gambar kecil: Mohd Zawawi
Berita Sinar Harian pada 20 Oktober berhubung petani haram warga asing ceroboh tanah di sekitar Kampung Johan Setia. Gambar kecil: Mohd Zawawi
A
A
A

KLANG - Tindakan tegas akan diambil kepada pemilik tanah yang menyewakan tanah kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) atau menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah bagi mengelakkan berlaku pencerobohan di tanah pertanian di Kampung Johan Setia, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata demikian berikutan kes pencerobohan tanah di sekitar sini oleh segelintir petani haram warga asing yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, semua agensi penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah/ Tanah (PDT) Klang, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas kepada pemilik tanah mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Selain langkah penguatkuasaan oleh pihak-pihak tersebut, jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) boleh membantu dengan membuat pemantauan, memasang kain rentang, papan tanda amaran dan hebahan melalui masjid-masjid berdekatan.

“Semua pihak perlu bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing tanpa masuk campur tugas pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor berkata, pemantauan di kawasan tersebut perlu diperketatkan dengan dengan rondaan berkala setiap agensi berkaitan selain penggunaan dron.

Ujarnya, pihak berkaitan juga perlu mendapatkan maklumat setiap petani dan pekerja sama ada tempatan atau asing bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh kawasan tersebut sesuka hati.

Sinar Harian baru-baru turut melaporkan JAS Selangor mengesan pembakaran terbuka di sini melibatkan tapak pelupusan sampah haram bersebelahan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) menerusi dron di kawasan Revolusi Hijau Johan Setia.

Artikel Berkaitan:

Menurut JAS, koordinat lokasi kebakaran diambil bagi mengenal pasti pemilik tanah yang menyebabkan atau membenarkan pembakaran itu dan kes dirujuk kepada PDT Klang untuk siasatan lanjut.