Tiada kenaikan kos Projek Jalan Bukit Kukus

Zairil
Zairil
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan kononnya kos projek Jalan Berkembar Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) meningkat daripada RM275 juta hingga RM545 juta.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, kenyataan itu jelas menunjukkan pihak yang membuat dakwaan itu tidak mahir mengenai projek tersebut.

Menurutnya, projek itu terbahagi kepada tiga bahagian yang masing-masing dilaksanakan oleh pihak berlainan iaitu PLB Land Sdn Bhd, Geo Valley Sdn Bhd serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

"Hal ini sudah dijelaskan sejak dari awal, iaitu bahagian yang dilaksanakan oleh MBPP terbahagi kepada tiga lagi bahagian iaitu menaiktaraf Jalan Bukit Kukus sepanjang 600 meter di antara Lebuhraya Thean Teik dan Lorong Semarak Api 3.

"Ia termasuk menaiktaraf 450 meter sepanjang Lebuhraya Thean Teik yang telah disiapkan sepenuhnya pada 14 Januari 2017," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, ia melibatkan menaiktaraf sebahagian Jalan Bukit Kukus di antara Tingkat Paya Terubong 1 dan Lorong Bukit Kukus sepanjang 600 meter yang juga telah disiapkan sepenuhnya pada 14 Januari 2017.

"MBPP juga terlibat dalam pembinaan jajaran utama Jalan Bukit Kukus sepanjang 1.6 kilometer. Selain itu, MBPP juga membina Link Tun Sardon dari Jalan Bukit Kukus ke Jalan Tun Sardon sepanjang 500 meter serta menaiktaraf Lebuh Bukit Jambul yang akan disiapkan pada hujung tahun ini.

"Dari segi kos, bahagian MBPP menelan belanja sebanyak RM275 juta dan kos ini tidak meningkat sama sekali walaupun berlaku kelewatan. Angka RM545 juta pula merupakan kos keseluruhan projek termasuk bahagian-bahagian yang dilaksanakan oleh pihak swasta.

Artikel Berkaitan:

"Pihak yang membuat dakwaan sepatutnya tahu perbezaan ini kerana sudah berkali-kali perkara ini dijelaskan," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong mempersoalkan kos projek tersebut yang pada mulanya diumumkan sebanyak RM275 juta dan kini Zairil mengatakan kos projek meningkat kepada RM 545 juta.

Zairil berkata, ketika ini, tahap kemajuan bahagian yang dilaksanakan MBPP adalah 96 peratus dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

"Dengan pertikaian yang dibuat Tong Keong, jelas dia tidak memahami perihal projek pembinaan kerana peratusan itu adalah pengiraan yang relatif kepada masa dan kuantiti kerja yang ditetapkan.

"Sekiranya tempoh siap kerja dilanjutkan dengan EOT (extension of time), maka sudah tentu peratusan kemajuan kerja juga akan berubah. Pengiraan ini merupakan kelaziman dalam semua projek pembinaan," katanya.

Tambahnya, EOT yang terbaru iaitu sehingga hujung tahun ini, telah diberi kepada kontraktor susulan beberapa isu.

"Antara isu tersebut adalah pengambilan tanah; kerja penstabilan cerun; pengalihan utiliti; tanah runtuh di tapak kerja serta masalah-masalah berkait dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun 2020.

"Justeru, sebahagian Jalan Bukit Kukus yang dibina oleh MBPP dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya menjelang hujung tahun ini," katanya.