200 pengusaha restoran nasi kandar tertekan kekurangan pekerja

Kebanjiran pelanggan menyebabkan pengusaha nasi kandar tidak mampu untuk mengawal pergerakan pelanggan terutamanya dalam pematuhan SOP kerana kekurangan pekerja.
Kebanjiran pelanggan menyebabkan pengusaha nasi kandar tidak mampu untuk mengawal pergerakan pelanggan terutamanya dalam pematuhan SOP kerana kekurangan pekerja.
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih daripada 200 pengusaha restoran nasi kandar di negeri ini tertekan kerana tidak mampu menampung kebanjiran pelanggan selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan susulan kekurangan pekerja.

Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMCOM), Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, kekurangan pekerja itu melibatkan warga asing yang masih terkandas kerana tidak dapat pulang ke negara ini.

Menurutnya, sebelum negara dilanda wabak Covid-19, terdapat kira-kira 40,000 pekerja melibatkan pekerja warga asing dan tempatan di seluruh negeri ini, namun kini berkurangan sehingga 20,000 pekerja.

"Kami (pengusaha) bukan tidak berusaha untuk menggajikan pekerja tempatan namun kebanyakan mereka (tempatan) tidak berminat untuk bekerja di premis nasi kandar, walaupun kita menawarkan gaji berpatutan dengan faedah lain, mereka tetap tidak berminat.

"Disebabkan faktor itu, banyak premis nasi kandar terpaksa menggajikan pekerja warga asing. Bagaimanapun, mereka sekarang tidak boleh kembali ke negara ini kerana penularan Covid-19," katanya ketika ditemui di Jalan Campbell di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan kekangan jumlah pekerja, pengusaha premis tidak mampu menampung jumlah kehadiran pelanggan yang menyerbu restoran mereka.

"Kekurangan pekerja memberi tekanan kepada pemilik premis kerana mereka tidak sempat untuk memastikan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Apabila tidak menjaga (kemasukan pelanggan), pengusaha akan dikenakan denda kerana ingkar SOP.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Rizwan
Mohamed Rizwan

"Bukan pengusaha tidak mahu mematuhi SOP tetapi mereka tidak mempunyai pekerja yang cukup dan ini yang berlaku ketika ini. Kami berharap pihak penguat kuasa memahami masalah pengusaha premis ini," katanya.

Mohamed Rizwan berkata, pihaknya memahami keperluan untuk mematuhi SOP namun meminta agar pihak berkuasa melihat kepada situasi semasa sebelum mengambil tindakan.

"Pekerja yang ada mempunyai tugas berganda kerana tidak cukup pekerja. Jadi kadang-kadang mereka keluar masuk ke premis untuk pergi solat atau ambil barang, mereka lupa untuk daftar keluar atau pun daftar masuk kerana berada dalam keadaan terburu-buru.

"Inilah yang kami minta pertimbangkan kerana mereka ini akan berada di premis sepanjang hari untuk bekerja. Tambahan pula mereka sudah mendaftar masuk ketika mereka datang kerja," jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, pada minggu lalu Restoran Hameediyah yang telah beroperasi lebih 100 tahun itu telah dikenakan denda RM10,000 kerana sebahagian pekerjanya tidak mendaftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, pemilik restoran terbabit, Ahamed Seeni Pakir berkata, sebilangan pekerjanya keluar untuk bersolat pada ketika itu namun terlupa untuk mendaftar masuk setelah kembali ke premis.

"Ketika mereka kembali, mereka melihat pelanggan sudah ramai menunggu di luar premis menyebabkan mereka kelam kabut sehingga terlupa untuk mendaftar masuk di MySejahtera.

"Bagaimanapun perkara sudah berlaku dan saya akan membayar denda itu pada minggu ini. Bagaimanapun, saya berharap agar kerajaan membenarkan industri makanan dan perniagaan membawa masuk pekerja asing bagi mengatasi keperluan kekurangan pekerja," ujarnya.