Cendana perlu bantu perluas produk kraf di peringkat antarabangsa

 Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (kiri) melihat proses tenunan songket ketika melawat Tanoti House sempena Program Jelajah #SayaDigital @ Sarawak anjuran CENDANA, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (kiri) melihat proses tenunan songket ketika melawat Tanoti House sempena Program Jelajah #SayaDigital @ Sarawak anjuran CENDANA, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) perlu mengantarabangsakan produk kraf dan tradisi yang terdapat di Malaysia khususnya di Sarawak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, Cendana yang ditubuhkan untuk membina ekonomi kebudayaan, perlu meningkatkan usaha memajukan produk-produk berkenaan bukan sahaja untuk dipasarkan secara biasa tetapi juga secara dalam talian untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Sebenarnya produk-produk ini tidak ternilai yang merupakan barang-barang jika dipromosikan dengan cara yang betul, ia akan menjadi barang yang digemari pengumpul.

“Maknanya kita kena tahu siapa artisan yang menjadi pengeluarnya, latar belakang bagaimana produk itu dikeluarkan, harus dinaratifkan dengan baik dan ia boleh menjadi produk yang sangat berharga,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja Kembara Connectivity ke Tanoti House, di sini pada Jumaat.

Annuar berkata, bagi menjayakan perkara itu, perlu ada kaedah tertentu dan berharap Cendana dapat melihat dan memperhalusi semuanya serta memberi sentuhan baru bagi produk kraf seterusnya dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, Cendana telah membawa beberapa perubahan kepada usaha-usaha tempatan yang diantarabangsakan misalnya dalam industri muzik, sebagaimana Sarawak melahirkan Alena Murang yang bermula daripada memainkan alat muzik trandisional akhirnya mendapat pengiktirafan dunia.

“Melalui lawatan hari ini saya gembira melihat inisiatif yang diambil. Cuba bayangkan Cendana yang berpusat di Kuala Lumpur tetapi pengeluar yang dimajukan oleh agensi itu ada di kawasan-kawasan pedalaman seperti Belaga, Ba’kalalan, Bario dan sebagainya... ia suatu perkara yang patut digalakkan sepenuhnya,” katanya.

Pada sebelah pagi, Annuar bersama delegasinya yang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke Sarawak melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: