Miliki 6,000 biji pil kuda, dua lelaki ditahan

No Image Caption
A
A
A

KEMAMAN- Polis menahan dua lelaki yang dipercayai memiliki 6,000 biji pil kuda di kawasan tempat letak kereta Jalan Pupuk Semangat Kampung Telok Kalong di sini, pada Rabu.

Lelaki berusia 25 dan 35 tahun, seorang peniaga dan penganggur itu ditahan dalam serbuan di kawasan berkenaan, kira-kira jam 7 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 6,000 biji pil warna merah disyaki pil kuda yang bernilai keseluruhan RM29,708.50.

"Hasil pemeriksaan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi, kita menemukan 4,000 biji pil kuda dan 2,000 biji pil kuda yang dicampak di atas rumput di lokasi terbabit," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata sedemikian selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Daerah Kemaman di pekarangan Balai Polis Air Putih disini pada Khamis.

Menurut Hanyan, hasil siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku mendapatkan kesemua bekalan itu dari luar Terengganu untuk dipasarkan di daerah ini.

Hanyan (kanan) menyampaikan hadiah kepada Pasukan Sukarelawan Polis (SP) selaku johan dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Daerah Kemaman yang diadakan di pekarangan Balai Polis Air Putih di sini pada Khamis.
Hanyan (kanan) menyampaikan hadiah kepada Pasukan Sukarelawan Polis (SP) selaku johan dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Daerah Kemaman yang diadakan di pekarangan Balai Polis Air Putih di sini pada Khamis.

"Selain pil tersebut, sebuah kereta Perodua Myvi turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

"Kedua-duanya kini direman selama tujuh hari bermula Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Dalam kes berasingan pada hari yang sama, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 21 dan 35 tahun ditahan ketika asyik memproses air ketum di sebuah kediaman di Kampung Bakau Tinggi, di sini.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.15 malam, turut dirampas 21 liter air ketum, empat kilogram daun ketum, 200 mililiter ubat batuk dan peralatan memasak.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan 12 (2) ADB 1952 dan kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Khamis.