Bina jejambat elak kesesakan bandar Kuantan

Chon Siang (kanan) meninjau jalan di Teluk Sisek di sini bagi melihat kesesakan yang berlaku.
Chon Siang (kanan) meninjau jalan di Teluk Sisek di sini bagi melihat kesesakan yang berlaku.
A
A
A

KUANTAN- Jejambat perlu dibina dipersimpangan Jalan Teluk Sisik dan jambatan Tanjung Lumpur di sini, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar ini.

ADUN Teruntum, Sim Chon Siang berkata, pembinaan dua jejambat di laluan terbabit, sekaligus dapat memberi kelegaan kepada warga Kuantan.

Menurutnya, cadangan itu akan dibuat kepada Kementerian Kerja Raya dalam masa terdekat, setelah isu kesesakan lalu lintas di kawasan itu sehingga hari ini gagal ditangani dengan baik.

“Boleh dikatakan kesesakan hampir tiga jam setiap hari terutamanya pada waktu-waktu kemuncak dan lebih teruk lagi pada hari Jumaat.

“Jadi, saya lihat situasi ini mengundang ketidakselesaan, memberi tekanan perasaan kepada warga kuantan, bagi saya ketiadaan jejambat di lokasi itu bagaikan penyakit jantung tersumbat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melihat situasi sebenar kesesakan lalu lintas di bandar Kuantan,di sini.

Warga Kuantan berdepan kesesakan lalu lintas.
Warga Kuantan berdepan kesesakan lalu lintas.

Chon Siang berkata, melihat keadaan terbabit, beliau meminta atau kerajaan mengambil perhatian terhadap permasalahan ini.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin menteri (Baru Bian) boleh datang ke sini untuk melihat gambaran sebenar tentang masalah ini.

“Saya sebagai ADUN dan pegawai khas Ahli Parlimen Kuantan mengambil perhatian terhadap apa yang berlaku di sini dan mohon ambil tindakan segera,” katanya.

Menyentuh mengenai kos yang dianggarkan untuk membina jejambat itu, Chon Siang berkata, itu terpulang kepada kerajaan untuk meluluskan sejumlah peruntukan bagi tujuan tersebut.

“Berapa kos kerajaan hendak bagi itu terpulang kepada kuasa kerajaan. Tetapi apa yang penting rakyat mahu keselesaan sewaktu di jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesesakan terbabit juga kemungkinan berpunca daripada perubahan beberapa laluan yang dibuat oleh pihak berkaitan.

Jelasnya,selepas arah laluan berubah, kenderaan seolah-oleh dihimpunkan di satu laluan sehingga menyebabkan kesesakan di kawasan ini.

“Sebelum ini tiada masalah seperti ini... jadi kita minta Jabatan Kerja Raya (JKR) buat sesuatu,” katanya.