X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Pekan Yan yang ditenggelami air kembali pulih

Laporan Sinar Harian pada 22 Oktober 2021 (Gambar kecil, Tunku Iskandar Shah)
A
A

ALOR SETAR - Keadaan banjir di Pekan Yan kembali pulih sepenuhnya dan talian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) tidak menerima sebarang panggilan berkaitan bencana itu pada Khamis

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata, satu bancian dilakukan membabitkan beberapa agensi dan jabatan berkaitan bagi menilai kerosakan kediaman penduduk.

Tunku Iskandar Shah memberitahu, berdasarkan laporan setakat jam 11.30 pagi Jumaat, seramai 25 pasukan pemantauan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memantau sekitar kawasan bencana.

"Syarikat Air Darul Aman (SADA) juga sudah mengambil tindakan masalah terputus bekalan air di Kampung Seberang Pekan Yan, Teluk Mat Acheh dan beberapa tempat yang lain dan bekalan kembali pulih," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah beliau, jalan utama yang menghubungkan pekan Yan ke Singkir, Merbok ditutup sementara berikutan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di kawasan lereng bukit di Kilometer 48.4, Tanjung Jaga, di sini, pada Khamis.

Beliau menjelaskan, pemantauan mendapati runtuhan membabitkan kawasan setinggi 12 meter (m) dan sepanjang 30m namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

"Ketika ini, laluan Tanjung Jaga masih ditutup bagi tujuan proses pembersihan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan berkemungkinan akan dapat dibuka sepenuhnya pada Jumaat," katanya.

Menurut Tunku Iskandar, pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pula melakukan kerja pembersihan di Kampung Tohor, Yan menggunakan jentera penggorek.

Beliau memaklumkan semua kerosakan dilaporkan juga telah diambil tindakan dan masih dalam tempoh pembaikan.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga melakukan pemantauan cerun berisiko sepanjang jalan ke Puncak Gunung Jerai selain sekitar Hulu Sungai Seri Perigi, Batu Hampar serta Titi Hayun.

Menurut Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Suraya Yaacob, hujan lebat melebihi 100 milimeter (m) dalam tempoh tiga jam mengakibatkan banjir di beberapa kampung di kaki Gunung Jerai.

Beliau menjelaskan, jumlah hujan yang berlebihan itu menyebabkan sungai tidak berupaya menampung air hujan lalu melimpah memasuki kawasan kampung berkenaan.

"Bagaimanapun, kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang cetek dilakukan dan mengalih batuan ada dalam sungai, selain pemasangan sangkar batu di cerun selepas kejadian kepala air pada 18 Ogos lepas," katanya.

Tambah Suraya, khidmat nasihat turut diberikan JMG dalam usaha memastikan kejadian kepala air tidak berulang kembali, sekaligus menjamin keselamatan penduduk terlibat.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kampung di kaki Gunung Jerai dilanda banjir sekali lagi selepas hujan lebat bermula jam 4 petang Rabu mengakibatkan paras air sungai naik dan melimpah ke rumah penduduk.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!