NGO kecil diminta tampil untuk dibantu: MTSP

Azril (dua dari kiri) mengagihkan risalah berkaitan dadah kepada peserta konvoi ke Rompin untuk diedarkan kepada orang ramai di lokasi-lokasi terpilih.
Azril (dua dari kiri) mengagihkan risalah berkaitan dadah kepada peserta konvoi ke Rompin untuk diedarkan kepada orang ramai di lokasi-lokasi terpilih.
A
A
A

TEMERLOH - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini disarankan agar membina kerjasama dengan agensi kerajaan supaya lebih banyak isu dapat diselesaikan dengan tuntas.

Pengerusi Zon Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata, ini kerana penglibatan NGO dalam menangani masalah sosial akan memudahkan lagi mereka untuk mendekati golongan sasar.

Bagaimanapun katanya, pihak kerajaan atau agensi berkaitan juga perlu memainkan peranan mereka untuk mendekati NGO terlibat agar misi menjaga kebajikan rakyat berjaya dilaksanakan dan golongan sasar mendapat manfaatnya.

"Seperti MTSP, ia ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi membantu mengumpulkan semua NGO di setiap daerah termasuk pertubuhan-pertubuhan yang kecil seperti berkaitan nelayan, sangkar dan kelab permotoran.

"Jadi kita meminta dan berharap NGO-NGO kecil ini tidak kira berapa keahlian mereka di setiap daerah tampil bersama MTSP, supaya kita boleh membantu melalui aktiviti-aktiviti berkaitan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kubang Gajah di sini pada Jumaat.

Beliau ditemui selepas majlis pelepasan peserta konvoi 'Ride To Rompin' Kelab 999 Malaysia bersama Skuad Anti Dadah Temerloh.

Hadir sama Pengerusi Kelab 999 Genting, Shahrul Izan Kamarulzaman, Pengerusi Kelab Anti Dadah Temerloh, Razak Endut dan Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Temerloh, Zaharami Zakaria.

Mengulas lanjut, Azril Rizal Yusof yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh berkata, pelbagai isu melanda negara sepanjang pandemik Covid-19 termasuklah isu dadah, kes bunuh diri, hilang pekerjaan dan masalah rumah tangga.

Artikel Berkaitan:

"Melalui sumber daripada Skuad Anti Dadah Temerloh yang begitu aktif dan prihatin sepanjang pandemik ini, mereka telah berhadapan dengan pelbagai kes yang meruntun jiwa.

"Mereka melihat sendiri bagaimana golongan ibu atau isteri ini perlu berjuang bersendirian untuk menanggung keluarga dan anak-anak setelah ketua keluarga mereka berada di pusat pemulihan," jelasnya.

Lebih 50 peserta menyertai konvoi dari Temerloh ke Rompin selama dua hari bermula Jumaat itu turut mengedarkan risalah berkaitan dadah di beberapa lokasi terpilih.