LKIM harap peruntukan tambahan untuk sekuriti makanan

Syed Abu Hussin menandatangani plak peletakan batu asas cadangan tapak pembinaan kuarters LKIM ketika Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM di Wisma LKIM, Pulau Meranti di Puchong pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Syed Abu Hussin menandatangani plak peletakan batu asas cadangan tapak pembinaan kuarters LKIM ketika Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM di Wisma LKIM, Pulau Meranti di Puchong pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

PUCHONG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan memberikan peruntukan tambahan pada Bajet 2022 untuk golongan nelayan serta perancangan sekuriti makanan supaya mencapai tahap selamat dan lestari.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, LKIM sudah mula membuat stok penimbal (stok penyimpanan ikan) secara agresif.

SYED ABU HUSSIN HAFIZ
SYED ABU HUSSIN HAFIZ

Menurutnya, stok bekalan ikan sedia ada disimpan di bilik sejuk besar di seluruh negara dan LKIM turut merancang membina beberapa bilik sejuk besar tambahan.

"Sebagai contoh di Kuala Besut, Terengganu kita sudah luluskan bilik sejuk yang mampu menampung bekalan sebanyak 500 tan metrik dan di Kuantan, Pahang kita sedang merancang pembinaan bilik berkapasiti 400 metrik tan.

"Begitu juga di Perak dan Kedah, kita akan bina bilik sejuk yang berkapasiti 500 metrik tan. Kesemuanya melibatkan tambahan 2,000 metrik tan termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Kita harap dapat merancang sumber protein melalui tambahan stok penimbal selain sentiasa berada di tahap yang boleh sampai kepada pengguna pada bila-bila masa," katanya.

Beliau sebelum itu menyempurnakan pra pelancaran sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM dan penyerahan bantuan MAFI PRIHATIN di Perkarangan Lobi Wisma LKIM, Pulau Meranti, Puchong.

Artikel Berkaitan:

Syed Abu Hussin (duduk) menanam pokok sebagai simbolik Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM di Wisma LKIM, Pulau Meranti di Puchong pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Syed Abu Hussin (duduk) menanam pokok sebagai simbolik Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM di Wisma LKIM, Pulau Meranti di Puchong pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Turut hadir, Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Kusuadi Sallih, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM, Khaironnesak Omar dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari.

Tambahnya, LKIM juga bercadang memulakan platform khusus untuk memasarkan ikan secara dalam talian dinamakan MySeafood bagi memudahkan pengguna mendapatkan produk berasaskan ikan.

"Kita sedang mengkaji sama ada menggunakan platform baharu atau yang sedia ada di pasaran bergantung pada kesesuaian," jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai program pra pelancaran itu, Syed Abu Hussin berkata, ia adalah titik permulaan bagi sambutan 50 Tahun LKIM dan turut disambut di seluruh negara dengan pelbagai pengisian seperti gotong-royong bersama nelayan, perarakan bot nelayan, mini karnival nelayan serta penyampaian bantuan kotak makanan MAFI Prihatin kepada nelayan.

Kemuncak acara ialah pada 1 November depan sempena penubuhan LKIM di Dewan Besar LKIM yang akan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee.

Syed Abu Hussin (tengah) ketika Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM di Wisma LKIM, Pulau Meranti di Puchong pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Syed Abu Hussin (tengah) ketika Majlis Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM di Wisma LKIM, Pulau Meranti di Puchong pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Dalam program pra pelancaran itu, beliau menyampaikan replika cek Program Road To 50 Tahun LKIM dan Bantuan MAFI Prihatin Nelayan kepada Pengarah-Pengarah LKIM Negeri berjumlah RM175,000 bagi pelaksanaan program bersama nelayan dan bantuan kotak makanan kepada nelayan.

"Kita juga menyerahkan dan mengagihkan sumbangan MAFI Prihatin iaitu Ikan Segar Beku (QFISH) sebanyak 280 kilogram QFISH yang akan diagihkan kepada rumah-rumah orang tua dan anak yatim di Puchong dan Kajang, Selangor dengan peruntukan dianggarkan berjumlah RM2,800.

"Selain itu, kita lakukan peletakan batu asas bagi cadangan tapak pembinaan kuarters LKIM dan turut menerima replika cek sumbangan NEKMAT kepada LKIM berjumlah RM24,490 bagi sambutan Jubli Emas 50 Tahun LKIM," ujar beliau.