Perodua Alza terbabas masuk longkang sebelum terbakar

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Tiga individu berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Alza yang mereka naiki terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2.3 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, awal pagi Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, mangsa terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berumur 32 hingga 53 tahun.

Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai insiden itu pada 3.42 pagi dan tiba di lokasi kejadian dengan kekuatan tujuh anggota termasuk pegawai bagi operasi menyelamat dan memadam kebakaran.

"Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dinaiki telah terbalik dan terbabas ke dalam longkang. Susulan itu, berlaku kebakaran di bahagian hadapan kenderaan.

"Kereta itu musnah terbakar 100 peratus. Bagaimanapun, mangsa berjaya keluar daripada kenderaan itu dengan selamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua individu yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: