Lembaga Pengarah Felcra nasihat COO lebih berhati-hati

Mohd Nazrul
Mohd Nazrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Lembaga Pengarah Felcra menasihatkan Ketua Pegawai Operasinya (COO), Mohd Khairi Mahamor supaya bersikap lebih berhati-hati dalam menangani urusan operasi perladangan.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd Nazrul Izam berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Felcra yang turut membincangkan dengan terperinci isu penyebaran video pegawai kanannya memarahi kakitangan yang viral di media sosial.

“Ahli Lembaga Pengarah Felcra juga menasihatkan Pegawai Kanan berkenaan supaya bersikap lebih berhati-hati dalam menangani urusan operasi perladangan bagi mengelak kejadian seperti itu berulang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Mohd Nazrul berkata, beliau dimaklumkan kejadian yang viral di laman media sosial berlaku semasa Program Kembara ladang di Projek Felcra Berhad Kampung Serambi, Pekan, Pahang pada 2 Mac lalu.

“Program Kembara Ladang adalah usaha terkini Felcra di dalam program turun padang pengurusan ladang milik peserta dan Felcra ke arah meningkatkan produktiviti demi manfaat warga peserta.

“Justeru itu, setiap lapisan pengurusan Felcra dalam bidang yang lain turut menumpukan usaha gigih meningkatkan lagi pulangan kepada warga peserta,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageeb Wahab menyifatkan kejadian itu bukan satu yang serius dalam usaha membuat perubahan dalam agensi itu.

Dalam video yang viral itu, Mohd Khairi meninggikan suara kepada seorang kakitangan wanita sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nazrul berkata, Program Kembara Ladang yang sedang dilaksanakan itu telah menghasilkan kejayaan awal.

Katanya, Lembaga Pengarah Felcra telah dimaklumkan bahawa prestasi ladang dan kilang menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding sebelum ini.

“Sebagai sebuah Syarikat Milik Kerajaan, Felcra mengambil perhatian khusus ke atas kejadian yang telah diviralkan itu,” katanya.