Lelaki terima upah RM150 hantar pil kuda dicekup

Pil kuda yang dirampas daripada seorang lelaki yang dicekup polis di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Tok Bok, Tendong pada Khamis.
Pil kuda yang dirampas daripada seorang lelaki yang dicekup polis di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Tok Bok, Tendong pada Khamis.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang lelaki yang menerima upah sebanyak RM150 bagi setiap penghantaran pil kuda dicekup polis dalam serbuan di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Tok Bok, Tendong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam serbuan jam 11.30 malam itu, polis turut merampas 400 biji pil kuda yang dianggarkan berjumlah RM4,000.

"Semasa pemeriksaan dilakukan ke atas tubuh badan suspek yang berusia 23 tahun itu, kami telah menemui satu beg pinggang dipakai oleh lelaki berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut di dalam beg tersebut telah menemui dua peket plastik warna biru yang diikat dengan satu gelang getah mengandungi pil kuda," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku mengambil upah menghantar pil kuda dengan kadar bayaran RM150 untuk setiap penghantaran.

Katanya, suspek turut mengaku mengambil bekalan tersebut dari seorang lelaki dikenali sebagai Puyih.

"Saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan turut mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.