Isu arak Timah: Tak patut izin penyalahgunaan nama

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM – Pihak yang menjaga urusan agama Islam sepatutnya tidak mengizinkan sebarang penyalahgunaan nama yang cuba mengelirukan penganut Islam oleh mana-mana pihak, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, walau apa jua alasan yang diberikan untuk jenamanya, penggunaan nama ‘Timah’ dalam bahasa orang Melayu adalah dekat dengan nama puteri kesayangan Rasulullah SAW, Fatimah al-Zahra’ RA.

“Dan secara halus boleh dianggap menyentuh sensitiviti dalam kalangan penganut Islam,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebook pada Jumaat.

Pihak pengurusan pengeluar arak jenama Timah sebelum ini tampil mengeluarkan satu kenyataan di Facebook miliknya bahawa Timah adalah perkataan tempatan yang bermaksud ‘Timah’ dan jenama Timah Whiskey diambil sempena era perlombongan bijih timah semasa zaman British Malaya.

Kata pengurusan pengeluar arak itu, gambar ikon di botol itu pula adalah Kapten Speedy yang merupakan salah seorang lelaki yang memperkenalkan budaya wiski ketika zaman tersebut.

Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang menambah, Rasulullah SAW telah memberikan suatu amaran akan berlakunya fitnah pada akhir zaman yang menimpa ke atas umatnya yang membawa kepada kerosakan akhlak mereka akibat arak dan seumpamanya.

“Sehingga jenama arak sengaja ditukar semata-mata bagi mengelirukan,” tegasnya.

Menurutnya, dalam masyarakat majmuk yang berbagai-bagai penganut agama, pihak yang berkuasa dalam negara Islam tidak boleh menghalang penggunaan dan perniagaannya dalam kalangan bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Hal ini disebabkan ia diizinkan oleh agamanya berkonsepkan kebebasan beragama.

“Kerajaan yang dikuasai oleh Pas di Kelantan dan Terengganu telah menetapkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang mengharamkan arak kepada penganut Islam.

“Pada masa yang sama, tidak melarang berlaku perniagaan arak dalam kalangan bukan Islam sahaja,” jelasnya.