AS berjaya uji teknologi peluru berpandu hipersonik

Pusat kemudahan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menjadi tempat ujian teknologi peluru berpandu hipersonik Tentera Laut Amerika Syarikat di Wallops, Virginia. - Foto Reuters
Pusat kemudahan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menjadi tempat ujian teknologi peluru berpandu hipersonik Tentera Laut Amerika Syarikat di Wallops, Virginia. - Foto Reuters
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) berjaya melancarkan ujian teknologi peluru berpandu hipersonik iaitu satu sistem senjata baharu yang sebelum ini turut dimiliki oleh China dan Rusia, kata Tentera Laut AS, pada Khamis.

Menurut satu kenyataan tentera itu, ujian tersebut dilakukan pada Rabu lalu di kemudahan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Wallops, Virgina.

Ia menyatakan bahawa ujian itu menjadi satu langkah penting dalam pembangunan Tentera Laut AS untuk mereka bentuk peluru berpandu hipersonik.

Peluru berpandu hipersonik boleh bergerak lebih lima kali daripada kelajuan bunyi dan sukar untuk dikesan kerana ia juga boleh terbang pada ketinggian yang rendah sebelum menuju ke sasaran.

Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon berharap akan menggunakan senjata hipersonik yang pertama menjelang tahun 2025 dan menyatakan pembangunan dalam bidang itu menjadi keutamaannya.

Baru-baru ini, Rusia melancarkan peluru berpandu hipersonik dari sebuah kapal selam dan sejak tahun 2019, negara tersebut telah mempunyai peluru berpandu hipersonik yang mampu membawa peledak nuklear dikenali sebagai Avangard.

Peluru berpandu itu boleh bergerak dengan kelajuan lebih 31,000 kilometer sejam, mengubah haluan dan ketinggian sebelum menuju ke sasaran.

Pada tahun 2019, China mendedahkan peluru berpandu hipersonik jarak sederhana iaitu DF-17 yang boleh bergerak sejauh kira-kira 2,000 kilometer dan membawa peledak nuklear.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, akbar Financial Times melaporkan negara komunis itu mengadakan satu ujian peluru berpandu hipersonik yang dilancarkan di angkasa lepas dan kembali semula ke bumi untuk menuju ke sasaran.

Namun, China menafikan dakwaan akhbar tersebut sebaliknya menyatakan ia melancarkan satu ujian kapal angkasa lepas. - Agensi