UMMAH NS gesa siasat arak jenama 'Timah'

Rosmin menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Seremban 2 pada Khamis bagi mendesak supaya arak jenama 'Timah' disiasat.
Rosmin menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Seremban 2 pada Khamis bagi mendesak supaya arak jenama 'Timah' disiasat.
A
A
A

SEREMBAN - Gerakan Pembela Ummah Negeri Sembilan (UMMAH NS), mendesak pihak berkuasa menyiasat penjualan arak jenama 'Timah', keluaran syarikat tempatan yang dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Pengerusinya, Rosmin Adam berkata, penggunaan jenama arak 'Timah' itu, seakan-akan mempersendakan nama wanita Islam dan juga anak bongsu Nabi Muhammad SAW iaitu Fatimah.

"Saya mendapati isu arak jenama 'Timah' ini, tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu selepas pelancarannya, dan telah menimbulkan keresahan serta kegelisahan dalam kalangan masyarakat awam di negara ini.

"Saya mendapati penggunaan jenama 'Timah' (yang merupakan sebahagian nama wanita Islam, dan nama puteri Nabi Muhammad SAW), serta label iklan arak yang memaparkan imej seorang yang berkopiah dengan janggut panjang, seakan menggambarkan orang berimej agama, adalah satu kebiadaban terhadap masyarakat beragama di negara ini.

"Saya mendapati pemilihan jenama dan label sedemikian telah dilakukan dengan sengaja, terancang dengan niat yang jahat untuk menimbulkan kecelaruan, menyentuh sensitiviti dan mengelirukan masyarakat awam khususnya umat Islam di negara ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut katanya, penggunaan jenama 'Timah' dan label biadab sedemikian bersifat menghasut dan boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat awam mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Rosmin berkata, sehubungan itu, satu laporan polis dilakukan di Balai Polis Seremban 2 pada Khamis, bagi memohon pihak berkuasa melakukan siasatan, mengikut Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan (Seksyen 298A) atau mana-mana peruntukan undang-undang yang bersesuaian demi menjaga ketenteraman awam.

Pada 7 Oktober lalu, arak jenama ‘Timah’ buatan Malaysia mula dilancarkan secara rasmi, oleh Pengarah Winepak Corporation, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.

Artikel Berkaitan:

Pengeluaran arak buatan tempatan, 'Timah' ini, dilaporkan mempunyai kandungan alkohol yang amat tinggi sehingga 40 peratus berbanding arak jenis lain yang tidak melebihi 10 peratus.

Memetik ciapan Twitter Amanah Wilayah Persekutuan, arak jenis Carlsberg mengandungi 6.5 peratus alkohol, manakala Heineken dan Tiger Beer sebanyak 5 peratus.