X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Hentikan normalisasi jenaka rogol

A
A

ISU dan jenaka rogol ataupun gangguan seksual tidak boleh dijadikan sebagai satu bahan jenaka atau gurauan oleh mana-mana pihak.

Perkara tersebut perlu dilihat sebagai satu isu yang serius oleh semua pihak kerana ia boleh memberi kesan yang besar terhadap diri mangsa terutamanya kesan mental dan emosi.

Sekiranya kita menjadikan isu-isu sebegini sebagai satu bahan jenaka atau gurauan ia dibimbangi akan menghantar satu isyarat yang salah kepada orang ramai sehingga ia menjadi perkara normal dalam masyarakat.

Gurauan mengenai rogol tidak kelakar, sebaliknya mereka yang dianiaya perlu bersuara.

Itu adalah mesej yang disampaikan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong setelah isu terbabit tular di media sosial apabila seorang pelakon tempatan menceritakan adegan rogol dalam filem yang dilakonkannya sebelum ini dalam sebuah rancangan televisyen baru-baru ini.

Menceritakan masalah yang pernah melanda kem terjun kebangsaan, atlet berusia 28 tahun itu mendakwa bahawa bekas jurulatihnya suka membuat lawak lucah sebelum individu itu berdepan isu rogol melibatkan seorang penerjun negara beberapa tahun lalu.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa tiada tolak ansur terhadap lawak rogol dan ia tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Rogol bukan jenaka. Keselamatan atlet kita adalah yang terpenting,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam balasan kepada ciapan Pandelela itu memuji pemenang pingat Olimpik dua kali itu atas keberaniannya bersuara mengenai isu berkenaan.

Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, keselamatan atlet daripada penganiayaan fizikal dan mental adalah jauh lebih penting daripada memenangi pingat setiap hari.

Pada masa sama, Biro Pemerkasaan Wanita Parti Ikartan Demokratik Malaysia (MUDA) menolak sekeras-kerasnya perbuatan dan perbicaraan jenaka rogol lebih-lebih lagi ia menjadi tontonan umum dan turut melibatkan penonton bawah umur.

Menurut kenyataan tersebut, wanita tidak sepatutnya digambarkan seperti subjek seks dan jenaka rogol perlu serta dihentikan daripada menjadi normalisasi dalam masyarakat kita.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!