Sektor pertanian perlu diberi keutamaan

Sektor pertanian penting bagi memastikan industri makanan negara kekal berdaya maju.
Sektor pertanian penting bagi memastikan industri makanan negara kekal berdaya maju.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berharap sektor pertanian khususnya jaminan bekalan makanan diberi keutamaan dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Pengerusi Jemaah Pengarahnya, Datuk Zamri Yaakob berkata, ia penting bagi memastikan industri makanan negara terjamin terutamanya dalam tempoh negara sedang menuju ke fasa endemik Covid-19.

“Adalah menjadi harapan Nafas agar Bajet 2022 diumumkan secara menyeluruh kepada warga peladang, penternak dan nelayan seluruh negara.

“Fokus yang lebih serius perlu diberikan kepada sektor ini memandangkan ia merupakan industri penting negara.

“Jadi sudah pasti kita mengharapkan peruntukan yang lebih banyak diberikan oleh kerajaan kepada sektor ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, sebagai sebuah institusi yang menerajui pergerakan pertubuhan peladang, pihaknya sentiasa memberi komitmen dalam memperkasakan fungsi untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti dan dinamik.

Selain itu, katanya, Nafas terus terlibat aktif dalam keseluruhan rantaian nilai industri pada negara, meneroka aktiviti nilai tambah dan hiliran khususnya dengan teknologi moden dan digital agar produktiviti dimaksimumkan serta pendapatan dipertingkatkan.

“Nafas sentiasa menyokong apa juga usaha untuk terus memperkasakan pertubuhan peladang menjadi entiti yang berdaya maju dalam industri agro makanan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Nafas di peringkat nasional kini dianggotai oleh 14 buah pertubuhan peladang negeri, 279 buah pertubuhan peladang kawasan dan hampir satu juta ahli seluruh negara.

Tambah peruntukan modal kerja kepada penternak

Sementara itu, kerajaan disaran supaya menambah peruntukan untuk modal kerja kepada penternak dalam Bajet 2022 bagi membolehkan mereka dapat beroperasi mengikut kapasiti yang diperlukan negara.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, ini kerana rata-rata penternak berhadapan dengan modal yang terhad susulan pandemik Covid-19.

Jelasnya, disebabkan pandemik itu, penternak berhadapan dengan pelbagai kekangan terutamanya kenaikan harga barang.

“Jadi, untuk bantu rakyat dan dalam masa sama memastikan makanan yang diperlukan negara mencukupi, penternak memerlukan pinjaman yang lebih besar tetapi dengan faedah yang rendah.

“Ini kerana, kita sedia maklum Covid-19 telah mengakibatkan harga barang naik dengan mendadak contohnya dedak ayam, anak ayam dan sebagainya.

“Kalau dulu, dengan peruntukan modal yang diberikan, penternak mampu menyediakan kuota ayam untuk keperluan negara tetapi disebabkan masalah ini kita tidak mampu sediakan jumlah yang sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Abdul Hamid
Abdul Hamid

Lebih banyak projek hiliran kepada nelayan

Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) pula berharap kerajaan memberi keutamaan untuk meningkatkan projek hiliran kepada masyarakat nelayan dalam Bajet 2022 yang bakal dibentang tidak lama lagi.

Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berkata, dengan pertambahan peruntukan untuk projek itu ia diharapkan berupaya membantu golongan berkenaan meningkatkan pendapatan.

“Harapan besar kita supaya nelayan diberi keutamaan dalam memastikan projek-projek hiliran ditingkatkan kepada golongan ini terutamanya isteri nelayan.

“Kerajaan perlu meningkatkan pinjaman mudah kepada golongan ini supaya mereka dapat membantu suami menjana pendapatan tambahan.

“Contohnya bagi mereka yang buat (projek) keropok atau perniagaan yang berasaskan makanan. Mereka pastinya memerlukan suntikan modal untuk melebarkan perniagaan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pada masa sama beliau berharap elaun sara hidup kepada golongan nelayan akan diteruskan.

Beliau berkata, elaun bulanan berjumlah antara RM200 hingga RM300 sebulan itu berjaya meringankan beban hampir 40,000 nelayan di seluruh negara.

“Selain itu, kita juga berharap pemberian subsidi minyak oleh kerajaan juga dapat diteruskan,” ujarnya.