Mampukah Malaysia pasar rokok murah keluaran tempatan

No Image Caption
A
A
A

CADANGAN membenarkan rokok berharga murah diproses dan dikilangkan di dalam negara mendapat perhatian ramai kerana ia melibatkan isu kesihatan serta ekonomi.

Perkara itu sedang diperincikan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mengatasi masalah penyeludupan yang menjadi penyumbang kepada ketirisan ekonomi negara.

Cukai yang dikenakan kepada pengilang rokok dapat meningkatkan hasil negara tetapi ia memerlukan satu mekanisme terbaik kerana cukai akan mempengaruhi harga jualan.

Jika dikilangkan di dalam negara, rokok berharga murah itu perlu dijual di pasaran tempatan dengan harga lebih rendah berbanding rokok jenama sama yang diseludup. Meskipun aktiviti penyeludupan juga melibatkan kos tertentu untuk bayaran kepada orang tengah dan pengangkutan seperti bot, namun rokok seludup ketika ini masih boleh dijual pada harga serendah RM5.

Sekiranya kerajaan berjaya menawarkan harga sama atau jurang kurang daripada RM1, kebenaran memproses dan pengilangan dalam negara itu dilihat sebagai tindakan wajar. Jika sebaliknya, kebenaran itu hanya sekadar bertujuan mengutip cukai semata-mata dan pada masa sama, kes penyeludupan dijangka terus meningkat.

Bukan mudah bagi perokok tegar yang menghisap rokok murah untuk bertukar selera. Maka, dalam perkara ini, harga rokok menjadi penentu sama ada perokok akan membeli rokok murah keluaran tempatan atau setia dengan rokok seludup.

Apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah tindakan penguatkuasaan lebih agresif secara konsisten dan efisien di semua peringkat. Bukan sahaja di luar bandar, malah rokok seludup mudah diperoleh di kedai runcit di bandar besar. Tidak mustahil berlaku ketirisan kerana kedai berkenaan mempunyai stok rokok yang cukup.

Sebelum ini, Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Cawangan Malaysia (RTBA Malaysia) memaklumkan pihak berkuasa Malaysia merampas 76.2 juta batang rokok seludup dibawa masuk melalui laluan perairan negara pada suku pertama tahun ini. Jumlah itu menandakan lonjakan besar jika dibandingkan 34 juta batang rokok seludup dirampas pada 2020.

Artikel Berkaitan: