Gugat kemananan, timbulkan ketegangan

Dendera (kiri) dan Aubidullah (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Dendera (kiri) dan Aubidullah (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Shah Alam dan Pemuda Pas Shah Alam menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa kerjasama UMNO-Pas ibarat 'perang' terhadap orang bukan Melayu.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Seksyen 6 kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, tindakan segera perlu diambil terhadap Guan Eng berikutan kenyataan beliau dapat menimbulkan ketegangan antara kaum dan merosakkan perpaduan di negara ini.

"Saya bimbang kenyataan beliau dapat mengugat keamanan negara serta menimbulkan kebencian antara kaum di negara ini," katanya selepas membuat laporan berkenaan

Terdahulu menerusi laporan sebuah portal, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai satu 'pengisytiharan perang' ke atas masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di bawah panji penyatuan Melayu.

Bagaimanapun, selepas itu frasa ‘pengisytiharan perang’ ditukar kepada ‘menyasarkan’.

Pemuda UMNO dan Pas Shah Alam menggesa tindakan segera terhadap Guan Eng.
Pemuda UMNO dan Pas Shah Alam menggesa tindakan segera terhadap Guan Eng.

Dakwaan Guan Eng itu dibuat susulan UMNO dan Pas secara rasminya menjalinkan kerjasama ke arah penyatuan ummah dengan mengambil kira masyarakat Malaysia yang majmuk tanpa meminggirkan agama dan bangsa lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas Shah Alam, Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, kenyataan Guan Eng itu seolah-olah seperti cuba untuk menakut-nakutkan kaum bukan Melayu tentang kerjasama antara Pas-UMNO.

Beliau berkata, sebagai seorang menteri kanan, Guan Eng sewajarnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

" Sebagai rakyat yang berada di dalam negara mengamalkan demokrasi, kenyataan sepeti ini dapat menganggu gugat keharmonian negara dan tindakan harus diambil oleh pihak berkuasa," katanya.