X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Tingkatkan bajet tahunan KKM melebihi empat peratus

Wacana Sinar Harian edisi ke-300 membincangkan topik Belanjawan 2022: Halatuju Kesihatan dan Pendidikan Negara. Dari kiri, Ismail Adnan Hamid selaku moderator, panelis Dr Maszlee Malik (tengah),Datuk Dr Zainal Ariffin Omar dan Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis. FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diharap meneruskan usaha meningkatkan belanjawan tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melebihi empat peratus seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan minggu hadapan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ini kerana sehingga kini bajet tahunan KKM di bawah empat peratus.

Beliau berkata, semasa negara menghadapi pandemik Covid-19, jelas kelihatan sistem pertahanan kesihatan negara ini mempunyai kelompongan selain kelam-kabut untuk mengatasinya pada peringkat awal.

"Yang kedua, bila sumber kita terhad, kita menyalurkan hampir keseluruhan sumber kita menangani pandemik sehingga kita lupa bahawa lebih 50 peratus masalah kesihatan di negara ini disebabkan penyakit tidak berjangkit seperti kanser, darah tinggi, diabetis yang mana semasa pandemik rayuan daripada masyarakat tidak mendapat perhatian serta rawatan.

"Jadi, ada (berlakunya) tempang dari segi perkhidmatan kesihatan," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian edisi ke-300 yang bertajuk 'Belanjawan 2022: Halatuju Kesihatan dan Pendidikan Negara' pada Khamis.

Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Datuk Dr Zainal Ariffin Omar. FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Turut menjadi panel, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, peningkatan bajet itu juga perlu kerana perkhidmatan kesihatan sangat luas dan terdapat tiga aspek kesihatan yang perlu diambil perhatian iaitu penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit serta perkhidmatan ibu dan kanak-kanak.

Beliau pada masa yang sama turut menyatakan aspek penting yang perlu diambil perhatian ketika negara menghadapi pandemik adalah dari segi penggunaan teknologi digital.

"Walaupun kita telah cakap lama (mengenai teknologi digital), tetapi bila tiba masanya kita tidak dapat menggunakannya kerana bukan kita tidak ada pakar, tetapi tidak ada kemudahan aplikasi, liputan internet dan interaksi dengan masyarakat.

"Ia berlainan jika kita lihat seperti di Singapura, Taiwan dan Korea Selatan di mana mereka menggunakan teknologi digital secara meluas dan kerana itu mereka dapat mengawal (Covid-19) dengan cepat.

"Jadi, saya rasa kerajaan perlu memberi tumpuan kepada kelompongan yang ada ketika ini selain perlu bersedia dengan pandemik atau penyakit berjangkit yang tidak diketahui akan wujud pada masa akan datang," jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!