X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Kadar penyisihan ketua isi rumah wanita lebih tinggi: Nurul Izzah

Nurul Izzah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memegang laporan Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh.
A
A

SHAH ALAM - Laporan Indeks Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh 2021 mendapati ketua isi rumah (KIR) wanita mempunyai kadar penyisihan yang jauh lebih tinggi dalam setiap dimensi kemiskinan berbanding KIR asas.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, penyisihan yang tinggi dari aspek Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dalam kalangan anak-anak KIR wanita membawa implikasi yang serius dan perlu ditangani dengan strategi tuntas.

Beliau berkata, skor purata tahap pendidikan KIR ibu tunggal adalah lebih rendah berbanding dengan purata tahap persekolahan KIR asas.

Nurul Izzah ketika menyampaikan kata aluan.
Nurul Izzah ketika menyampaikan kata aluan.

“Pendapatan purata KIR asas adalah sebanyak RM2,131.85 sebulan berbanding RM1,451.71 sebulan untuk KIR wanita (68.1 peratus lebih rendah daripada purata).

“Indeks impak pendidikan terhadap pendapatan juga berbeza dengan KIR asas yang mencatat skor 0.73 berbanding dengan KIR ibu tunggal sebanyak 0.62,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Laporan Indeks Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh 2021 dilancarkan hasil kerjasama Nurul Izzah dan bekas Profesor Ekonomi dan mantan Pengarah Pusat Pengajian Kemiskinan dan Pembangunan di Universiti Malaya, Dr Fatimah Kari menunjukkan impak Covid-19 ke atas kemiskinan.

Laporan itu memperincikan pembangunan indeks MPI (Multidimensional Poverty Index) secara realistik sebagai kaedah alternatif bagi mengukur kadar kemiskinan berdasarkan dimensi keperluan asas dalam keluarga ketua isi rumah (KIR) yang miskin.

MPI yang yang lebih tinggi menunjukkan kesan lebih parah kepada kualiti hidup.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, kajian itu mendapati kadar penyisihan golongan kanak-kanak dari segi dimensi bekalan air (0.079) dan elektrik (0.07) merekodkan kadar penyisihan yang rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed secara simbolik pada majlis Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed secara simbolik pada majlis Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh.

Begitupun katanya, penyisihan dari segi perumahan dan sanitasi didapati agak sederhana dengan masing-masing berada pada kadar 0.344 dan 0.278.

“Dari perspektif kemiskinan kanak-kanak, hampir semua indikator yang berkaitan dengan dimensi pandemik Covid-19 menunjukkan kadar penyisihan yang tinggi seperti perbelanjaan makanan (per kapita) dan PdPR yang merekodkan kadar 0.966 dan 0.877.

“Laporan MPI Permatang Pauh merupakan kajian pertama di Malaysia yang mengira kadar penyisihan dalam bidang pembelajaran kanak-kanak di rumah di tengah-tengah serangan pandemik Covid-19.

“Kesemua penemuan signifikan, termasuklah penyisihan yang tinggi dalam PPM kerana ia menunjukkan bahawa keluarga miskin tidak mampu untuk membeli keperluan makanan yang mencukupi dan dalam erti kata yang lain, golongan kanak-kanak menghadapi kemiskinan nutrisi yang kritikal (extreme food poverty) yang diwakili oleh hampir 60 peratus KIR dalam sampel kajian,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, kajian itu menggunakan sembilan dimensi utama yang mengambil kira enam dimensi konvensional dan tiga dimensi yang berkait dengan pandemik Covid-19.

“Dimensi konvensional seperti kemudahan perumahan mencatat kadar penyisihan (deprivation rate) tertinggi, diikuti pendidikan KIR, sanitasi, bekalan air, kesihatan dan elektrik.

“Tiga indikator utama yang berkaitan dengan pandemik Covid-19 menunjukkan skor penyisihan yang agak tinggi, khususnya yang berkaitan dengan keselesaan rumah kediaman, dimensi kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas disebabkan PKP, serta kadar penyisihan berkaitan PdPR," katanya.

Sehaluan dengan dapatan MPI Permatang Pauh, beliau mengingatkan keperluan mengguna pakai lensa responsif mengikut keperluan gender dalam Bajet 2022 kelak dan pelaksanaan perlindungan kanak-kanak sejagat yang disarankan oleh KRI.

“Kerajaan perlu mengambil kira pengenalan cukai yang lebih progresif bagi menampung bantuan serta jaringan keselamatan sosial yang mencukupi buat rakyat; cukai durian runtuh, contohnya - yang telah disebut di dalam Laporan Menongkah Badai oleh KRI,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!