Bajet 2022 perlu libat semua pemegang taruh pendidikan

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik
A
A
A
SHAH ALAM - Bajet 2022 perlu menyeluruh meliputi realiti pendidikan secara holistik melibatkan semua pemegang taruh pendidikan dan bukannya secara berpisah.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, belanjawan tersebut perlu dilakukan satu anjakan paradigma dalam pendidikan Malaysia seperti negara maju.

Beliau berkata, pendidikan itu perlu dilibatkan bukan hanya sekolah tetapi juga guru dan tumbesaran anak murid.

“Kali ini saya akan bawakan lagi kepada kerajaan untuk melaksanakan program sarapan pagi percuma kepada anak-anak sekolah rendah sebagaimana yang kita lihat di negara maju seperti Jepun dan Finland yang memberikan makanan bergizi, berkhasiat kepada anak murid tanpa diskriminasi.

“Pelaksanaan itu salah satu kepada proses pembentukan generasi mendatang bukan sekadar memberi makanan berkhasiat semata-mata tetapi mereka juga belajar tentang makanan, adab makan dan kesetaraan antara kaum miskin dan kaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar edisi ke-300 membincangkan topik Belanjawan 2022: Halatuju Kesihatan dan Pendidikan Negara pada Khamis.

Turut menjadi panel, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar dan Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad manakala Ismail Adnan Hamid sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pelaksanaan sarapan pagi percuma itu juga akan mengajar mereka pengurusan sisa makanan yang akan membantu tumbesaran anak-anak dan membentuk generasi yang berdisiplin.

“Jadi benda ini berlaku setiap hari bukan sekadar kita membantu tumbesaran anak-anak, bentuk generasi yang akan membesar dengan makanan berkhasiat semata-mata tetapi juga mereka akan menjadi generasi yang berdisiplin.
Artikel Berkaitan:


“Selain itu kita juga akan membantu lebih 7,772 sekolah yang terlibat seperti pengusaha kantin, SME pembekal makanan basah, petani jikalau ia dilaksanakan mengikut apa yang pernah diutarakan pada tahun 2019 lalu.

“Selain itu, kerajaan perlu menyediakan insentif kepada guru untuk mereka menjalani kehidupan selepas pasca Covid-19 dan juga selari dengan pengorbanan mereka sepanjang pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR),” ujarnya.

Sementara itu, Maszlee berkata, hala tuju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu mengikuti sistem negara Jerman yang mengamalkan ‘dual training system’.

“Mereka perlu di ‘place and train’ bukan hanya belajar kemudian di tahun akhir baharu pergi kat kilang. Tidak.

“Awal-awal lagi mereka telah diserapkan di dalam kilang diberi latihan oleh industri tetapi untuk sistem ini berjaya perlu diterajui oleh industri dan bukannya kepada kerajaan.

“Maka segenap pusat latihan yang ada perlu diselarikan supaya dikendalikan dan dipacu oleh industri kerana apabila kita menghasilkan graduan TVET mereka merupakan individu yang diperlukan oleh industri.

“Industri lebih tahu kemahiran apa yang diperlukan dan diterapkan kepada mereka kerana di penghujungnya graduan-graduan ini akan pergi ke industri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pendidikan adalah tanggungjawab kita bersama, kerana ia adalah wahana untuk merapatkan kesenjangan di antara mereka yang ada dan tiada.

Beliau berkata, ia sepatutnya dijadikan bukan sekadar wahana tetapi juga sebagai satu wasilah yang mapan sehingga bila-bila.

“Sebab itu saya agak terkilan apabila lebih setahun, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mengambil pendekatan ‘one size fit all’ ketika pandemik.

“Ini kerana ada pihak memerlukan bantuan, ada pihak yang memerlukan dorongan dan ada pihak yang perlu untuk kita kuatkan, jadi disini telah berlalu, selepas ini?

“Jadi apabila nak buat polisi RMK12 dan belanjawan 2022 berkaitan pendidikan ia mestilah beralaskan dan berlatarkan pembinaan semula masyarakat,” ujarnya.