X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Sedia bantu Melaka pacu ekonomi sektor pelancongan

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah (depan) tiba di Jeti Nelayan Pernu selepas melawat ke Pulau Undan pada sidang akhbar sempena Jelajah Bajet 2022 di Melaka pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Kementerian Kewangan akan membantu Melaka memangkinkan perubahan ekonomi menerusi sektor pelancongan baharu melibatkan tiga pulau di negeri ini, iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol, yang akan diwartakan sebagai Taman Laut Negara.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, pihaknya menyokong usaha berkenaan kerana ia merupakan antara langkah pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada hujung bulan ini.

"Hari ini, saya turun ke pulau-pulau di Melaka untuk melihat bagaimana kerajaan Persekutuan boleh membantu memangkinkan perubahan ekonomi kerajaan negeri Melaka, ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih lestari serta berproduktiviti dan mempunyai nilai tambah terhadap persekitaran sosial dan tadbir urus.

"Secara lumrahnya Melaka terkenal dengan ekonomi pelancongan darat berbanding pelancongan laut, namun dengan cadangan atau usaha yang sedang dilakukan untuk mewartakan tiga pulau sebagai Taman Laut Negara, akan memberi satu tarikan baharu kepada pelancong," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke beberapa pulau di sini termasuk Pulau Undan, pada Khamis.

Beliau berkata, pewartaan sebagai Taman Laut Negara bakal menjadikan pulau-pulau itu sebagai taman laut pertama di pantai barat di selatan tanah air.

Mohd Shahar berkata, langkah itu akan meningkatkan ekonomi pemain industri pelancongan, khususnya golongan B40, menerusi pelbagai aktiviti pelancongan hiliran seperti penternakan kupang, selam skuba dan lawatan ke pulau-pulau.

Perubahan ekonomi itu juga, katanya, secara tidak langsung dapat meningkatkan usaha melindungi dan memelihara pelbagai habitat dan kehidupan marin di pulau terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pulau tersebut dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan Taman Laut Negara, meliputi kawasan satu batu nautika dari pantai di bawah Seksyen 41 Akta Perikanan 1985 (Akta 317), bagi menjamin kelestarian biodiversiti marin di sekitar Melaka. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!