X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Banjir: PPS di empat negeri masih dibuka

Amzaini Nayan, 59, membersihkan kawasan halaman rumahnya yang diselaputi lumpur akibat dilanda banjir kilat petang semalam di Kampung Seberang Pekan, Yan pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir berikutan hujan lebat di Kedah pulih sepenuhnya, namun keadaan tidak banyak berubah di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka apabila terdapat peningkatan jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS).

Di KEDAH, tiga PPS yang dibuka di daerah Kuala Muda ditutup sepenuhnya, petang Khamis.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS Dewan Kampung Bukit Belah, PPS Surau Taman Kenari dan PPS Masjid Al-Huda Kampung Jerung ditutup serentak pada pukul 1 tengah hari Khamis.

"Seramai 162 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di tiga PPS ini selepas rumah mereka dinaiki air. Kesemua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut berikutan keadaan cuaca yang agak baik hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat di daerah Larut Matang dan Selama kepada 57 orang daripada 19 keluarga berbanding 14 orang daripada tiga keluarga, pagi Khamis.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, daripada jumlah itu, seramai 39 orang daripada 13 keluarga dari Kampung Sungai Bemban, Kuala Trong, ditempatkan di PPS di Masjid Nurul Hidayah Sungai Bemban yang dibuka sejak pukul 10 malam Rabu.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temelok, sebanyak 18 orang daripada enam keluarga ditempatkan di pusat berkenaan,” katanya.

Di SELANGOR pula, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis memaklumkan tiga PPS telah dibuka di daerah Sepang bagi menempatkan 45 mangsa banjir dari kawasan Kampung Giching dan Kampung Salak setakat 1.40 tengah hari Khamis.

Bagaimanapun, banjir kilat yang melanda sekitar daerah Klang sejak Rabu telah surut pada Khamis.

Di NEGERI SEMBILAN, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Said, Nilai, yang menempatkan sembilan orang daripada sebuah keluarga semalam ditutup pukul 12.15 tengah hari Khamis.

Pengarah APM Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata, kesemua mangsa banjir berkenaan sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“PPS berkenaan dibenarkan tutup selepas mendapat kebenaran daripada Pegawai Daerah Seremban. Keadaan cuaca pada hari ini baik dan disebabkan itu kesemua mangsa banjir di PPS berkenaan dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Permatang, Port Dickson masih kekal sama setakat petang ini iaitu 25 orang terdiri empat lelaki dan 21 perempuan dari Pusat Darul Widad.

Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula meningkat kepada 932 mangsa daripada 249 keluarga setakat pukul 4 petang Khamis berbanding 590 mangsa daripada 155 keluarga pukul 8 pagi Khamis.

Pengarah APM Negeri Melaka, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Qudra berkata, jumlah PPS di tiga daerah di negeri itu turut meningkat kepada 12 PPS pada petang Khamis berbanding 10 PPS pada sebelah pagi.

Beliau berkata, sebanyak 144 mangsa daripada 45 keluarga yang terjejas di Alor Gajah ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan SK Telok Berembang.

"Di daerah Jasin pula, sebanyak 267 mangsa daripada 70 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Seri Bemban, SK Tehel dan SJKC Shuh Yen.

"Di Melaka Tengah, sebanyak 521 mangsa daripada 134 keluarga ditempatkan di enam PPS iaitu SMK Tun Mutahir, SK Batu Berendam 2, SK Krubong, SK Taman Merdeka, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!