'Kehilangan besar buat Pemuda UMNO'

Allahyarham Azmir. - Foto: Facebook Azmir Zainal Abidin
Allahyarham Azmir. - Foto: Facebook Azmir Zainal Abidin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemergian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Azmir Zainal Abidin disifatkan sebagai kehilangan besar buat seluruh Pemuda UMNO di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Allahyarham dikenali ramai bukan sahaja dalam arena politik, bahkan aktif melakukan kerja-kerja amal menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kami semua berdukacita dengan pemergian sahabat saya (Azmir), kami kehilangan permata yang bernilai bukan sahaja kepada Pemuda UMNO negeri tetapi juga negara,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff di sini hari ini.

Buat sementara, beliau berkata, kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Mersing akan diserahkan kepada adik Allahyarham, yang juga Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Mersing, Azhar Zainal Abidin.

“Sekarang ini musim mesyuarat cawangan dan bahagian, yang akan berjalan sehingga November. Saya rasa banyak kerja-kerja ditinggalkan arwah, jadi kami akan pantau. Buat sementara ini semua kerja-kerja di Mersing akan diserahkan kepada Azhar untuk membantu,” katanya.

Azmir, 40, meninggal dunia pada 4.25 petang semalam (Rabu) di Hospital Sultan Ismail selepas dimasukkan ke hospital itu akibat tekanan darah tinggi.

Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini, sebelum selamat dikebumikan kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Azmir yang merupakan anak sulung bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Endau dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor Datuk Zainal Abidin Osman, meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham turut memegang beberapa jawatan termasuk Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Johor, Pengerusi Tetap Gerakan Belia 4B Malaysia dan Yang Dipertua Majlis Gabungan Belia Mersing. - Bernama