Kerajaan tinjau peluang kerjasama projek pembangunan semula Afghanistan

Kamarudin. - Foto fail Bernama
Kamarudin. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meninjau peluang kerjasama dengan beberapa negara termasuk dalam pembinaan infrastruktur dan bina upaya bagi projek pembangunan semula Afghanistan, Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Malaysia menawarkan pengalaman dan kepakaran dalam sektor ekonomi digital, industri halal, pendidikan, pembangunan dan pengurusan lapangan terbang, pembangunan dan perancangan bandar serta perkhidmatan (perbankan Islam dan takaful).

“Malaysia akan memberi pertimbangan sewajarnya untuk menyertai projek pembangunan semula di Afghanistan apabila keadaan mengizinkan. Usaha sebegini boleh dilaksanakan secara terus dengan pihak-pihak berkenaan di negara tersebut atau menerusi kerjasama dengan negara-negara ketiga.

“Sebagai contoh, sebuah syarikat dari Malaysia sedang mengadakan perbincangan untuk menguruskan lapangan terbang antarabangsa Hamid Karzai di Kabul,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Negara di sini pada Khamis.

Kamarudin berkata, dari aspek bina upaya, bantuan akan diteruskan setelah situasi keselamatan di Afghanistan aman dan stabil.

Beliau berkata, Malaysia telah memberikan sokongan dan bantuan untuk pembangunan semula Afghanistan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP) dan Program Latihan Negara Ketiga (TCTP).

Menurutnya, sejak 2002, sebanyak 616 pegawai Afghanistan dilatih di bawah MTCP dalam bidang perbankan, pentadbiran awam, diplomasi, kejuruteraan, pentadbiran kastam dan kehakiman.

“Menerusi program TCTP di bawah MTCP, Malaysia melaksanakan Program Pendidikan Malaysia-Australia untuk Afghanistan (MAEPA) sejak 2008 dengan kerjasama Badan Pembangunan Antarabangsa Australia (AusAID) dan Kementerian Pendidikan Afghanistan.

“Program MAEPA berjaya meningkatkan kualiti pendidikan dan akses pendidikan untuk kanak-kanak perempuan melalui satu siri bengkel pengembangan kemahiran bagi pelatih guru Afghanistan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai cadangan membangunkan infrastruktur pengangkutan menghubungkan Malaysia dan Indonesia, Kamarudin berkata, projek infrastruktur berskala mega seumpama itu memerlukan analisis kos-faedah yang jitu, kajian secara menyeluruh dan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sebelum dapat dilaksanakan.

“Projek seperti ini juga semestinya datang dengan cabarannya tersendiri dari sudut keselamatan, sosioekonomi negara mahupun ancaman kepada alam sekitar,” katanya. - Bernama