X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Big Bang Astronomy 2021 pencetus budaya celik sains, teknologi

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba hadir pada Majlis Pelancaran 'Big Bang Astronomy' Planetarium Negara 2021 di Planetarium Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Selaras dengan teras kelima Dasar Sains, Teknologi, Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, penganjuran Program Big Bang Astronomy 2021 bakal menyemarakkan pembudayaan dan pengaplikasian Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, program yang julung kali diadakan di Planetarium Negara, bertemakan Women In Space bermula hari ini hingga 30 November depan, berperanan sebagai pencetus budaya celik Sains dan Teknologi sejak usia muda serta meningkatkan daya saing masyarakat.

"MOSTI mengalu-alu dan memohon supaya kita bergiat serta menekankan peranan wanita dalam sains angkasa..kita juga memberi pengiktirafan kepada wanita supaya merancakkan lagi usaha agar lebih ramai bakat muda dalam kalangan wanita dalam industri atau ruang angkasa.

"Dengan semangat itu, kita sebenarnya bukan sahaja mempelopori satu kekuatan dalam pengetahuan dan minat kepada ruang angkasa tetapi kita juga boleh memberikan minat awal (dalam astronomi)," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program 'Big Bang Astronomy 2021' di sini pada Khamis.

Dr Adham turut mengumumkan pembukaan semula Planetarium Negara secara percuma sempena pelancaran program berkenaan, bermula 12 November hingga 14 November dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menerusi program itu, Planetarium Negara menganjurkan 15 aktiviti disokong 21 rakan strategik termasuk badan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi, syarikat pemula dan penggiat astronomi serta penyertaan 21 ahli astronomi profesional Malaysia untuk merakyatkan astronomi negara.

Antara aktiviti disediakan sepanjang penganjuran Big Bang Astronomy 2021 termasuk pameran maya Srikandi Angkasa yang menampikan 13 ahli astronomi wanita Malaysia dan siri bual bicara bersama pakar astronomi dengan tumpuan kepada kerjaya dalam bidang angkasa, peranan astronomi dalam kehidupan seharian dan pencerapan sistem suria.

Selain itu, segmen khas untuk pelajar kelainan upaya penglihatan dengan tema Space Insight #PlanetariumGoldenHeart; elemen edutainment melalui aktiviti Space Fit dan TikTok Challenge dengan tema Women in Space dan Asteroid Hunters bagi orang ramai mempelajari asteroid melalui kaedah gamifikasi serta seni hiburan turut diadakan menerusi program itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!