Sila log masuk terlebih dahulu.

PRN Sarawak: PBB sudah ada senarai calon

Alexander Nanta Linggi. - Foto Facebook Alexander
Alexander Nanta Linggi. - Foto Facebook Alexander
A
A
A

KUCHING - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah memiliki senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Menurut Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, senarai tersebut disediakan Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun tambahnya, dia tidak tahu mengenai senarai calon untuk parti komponen lain di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Bagi PBB, memang Ketua Menteri sudah ada nama. Bagi komponen lain, mungkin belum dimuktamatkan, saya tidak tahu,” katanya ketika Dialog Bersama-sama Media di sebuah hotel di Kuching pada Khamis.

Jelasnya, GPS juga sudah bersedia sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan dalam masa terdekat kerana gabungan tersebut sudah bersedia menghadapi PRN sejak 2019.

“Sekiranya ditanya GPS bersedia atau tidak, memang GPS bersedia sejak tahun lepas pun. Kita pada 2019 kita dah menganggap pilihan raya akan diadakan pada 2020 tetapi disebabkan penularan Covid-19, kita tidak dapat mengadakan pilihan raya.

“Jadi bilik gerakan untuk PRN sudah kita gerakkan, saya sebagai Setiauasaha Agung GPS juga sebagai Setiausaha Agung PBB telah diarahkan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada tahun 2019 untuk menggerakkannya," katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi bayangan bahawa pengumuman pembubaran DUN Sarawak mungkin akan berlaku dalam satu atau dua hari lagi.

Artikel Berkaitan:

Ini selepas desas-desus mengatakan bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Khabar angin itu kemudian diperkukuhkan dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun Abang Jo berkata, perbincangan tertumpu kepada situasi terkini Covid-19 di Sarawak dan hal berkaitan perintah darurat.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata perincian mengenai pengumuman tarikh PRN adalah berada di luar bidang kuasanya.

Selain itu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sidang media berkenaan pengumuman pembubaran DUN Sarawak diadakan esok seperti yang diperkatakan.

Kenyataan itu berkata penjelasan dibuat susulan laporan oleh beberapa portal berita mengenai kemungkinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dijangka mengadakan sidang media khas berhubung pembubaran DUN. - Awani