MPFN perinci pembangunan, pemajuan negara: PM

Ismail Sabri (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 pada Khamis.
Ismail Sabri (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) akan memperincikan pembangunan dan pemajuan negara yang bukan sahaja menyeluruh, inklusif dan mampan malah mempunyai ciri-ciri daya huni yang tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan pada masa ini memberi tumpuan dan keutamaan yang tinggi terhadap pembangunan mampan selaras dengan komitmen dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif dan Mampan.

Beliau berkata, MPFN ke-39 telah membincangkan lapan agenda dan membuat keputusan terhadap tiga agenda penting iaitu meluluskan dua dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa.

"Ia adalah Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) dan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) yang disediakan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

"MPFN ke-39 turut bersetuju terhadap cadangan penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah bagi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri menambah, RFN merupakan dokumen peringkat tertinggi dalam sistem perancangan guna tanah negara.

"Selaras dengan keperluan peruntukan di bawah subseksyen 6B(4) Akta 172, RFN hendaklah dikaji semula setiap lima tahun selaras dengan penyediaan Rancangan Malaysia Lima Tahun atau jika dan apabila diarah oleh MPFN.

"RFN4 ini disediakan untuk menentukan arah tuju pemajuan fizikal termasuk ekonomi, alam sekitar dan sosial bagi seluruh kawasan perancangan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan RFN4 memerlukan penglibatan pelbagai pihak di setiap peringkat perancangan dan pembangunan sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan, negeri atau tempatan," ujarnya.

Ismail Sabri (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 pada Khamis.
Ismail Sabri (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 pada Khamis.

Katanya, ini termasuklah pihak-pihak berkuasa perancangan di bawah Akta 172 yang mempunyai fungsi dan tanggungjawab tertentu bagi memastikan RFN4 diterjemah dan dilaksanakan secara berkesan.

"RFN4 telah menggariskan tiga teras pembangunan, 11 hala tuju strategik, 39 strategi dan 120 tindakan yang meliputi segenap bidang perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial," katanya.

Ismail Sabri berkata, RFZPPN-2 pula adalah satu rancangan strategik guna tanah yang menggariskan hala tuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumberjaya persisiran pantai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"RFZPPN-2 digubal dengan mengambil kira aspek-aspek ancaman geobencana seperti hakisan pantai dan faktor perubahan iklim yang akan memberi kesan kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar.

"Selain itu, Indeks Kerapuhan Persisiran Pantai atau Coastal Vulnerabitlity Index (CVI) juga merupakan instrumen penting yang diambil kira dalam RFZPPN-2," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) bagi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis).

"Fungsi utama JPW adalah untuk menyelaraskan isu-isu perancangan yang merentasi sempadan dua negeri atau lebih serta menasihati kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam wilayah itu mengenai rancangan pemajuan yang sesuai bagi wilayah tersebut," katanya.