Bunuh nenek: Penganggur terselamat daripada tali gantung

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang penganggur terselamat daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana membunuh neneknya yang berusia 78 tahun, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim, Datuk Has Zanah Mehat sebulat suara mendapati rayuan Maslizan Muhamad, 42, mempunyai merit.

Hakim Has Zanah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah berkata, hukuman itu diketepikan dan diganti dengan perintah bahawa Maslizan selaku perayu hendaklah dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan selaras dengan peruntukan Seksyen 347 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

"Isu utama yang dibangkitkan perayu adalah dalihan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan (KK) yang telah ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi. Yang Arif hakim Mahkamah Tinggi telah salah arah kerana tidak menimbang dalihan yang dibawa perayu.

"Kami mendapati, terdapat hujahan yang mencukupi daripada keterangan saksi-saksi pendakwaan bahawa perayu adalah figura yang bertanggungjawab menyebabkan kecederaan pada si mati dan akhirnya telah membawa kepada kematian.

“Berdasarkan fakta di atas, kami dengan ini membenarkan sebahagian rayuan perayu berkaitan sabitan dan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang diperintahkan oleh hakim Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Has Zanah.

Hakim Has Zanah turut memerintahkan perayu ditahan di Hospital Permai, Tampoi, Johor selama mana diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di bawah Seksyen 348 KTJ.

Pada 21 Ogos 2018, Maslizan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Halimah Taib, 78, di depan sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud, Pengadang Buloh di sini, jam 9.30 pagi pada 7 September 2015.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Ghazali Ismail yang mewakili Maslizan berhujah, bahawa anak guamnya berada dalam keadaan tidak siuman ketika kejadian kerana dia menghidap penyakit mental.

“Perayu tinggal bersama neneknya (mangsa) dan dia telah mengalami masalah mental yang sangat bercelaru serta tidak dapat tidur kerana sentiasa berhalusinasi. Perayu mendengar bisikan halus iaitu mangsa ingin memberi ‘saka harimau’ kepadanya.

“Pada malam sebelum kejadian, perayu telah balik ke rumah dari masjid sebelum waktu subuh. Di rumah, perayu tetap tidak dapat tidur hanya sekadar terbaring di atas katil.

“Kira-jam jam 10 pagi, perayu telah terdengar bunyi tapak kaki berjalan di luar rumah. Perayu telah membuka tingkap dan sangat terkejut serta takut apabila melihat mangsa seperti harimau dan cuba menerkamnya. Perayu terus ke dapur mendapatkan pisau lalu mengelar leher harimau tersebut,” kata peguam itu.

Tambah Ghazali, saksi pembelaan kedua iaitu seorang pakar perunding psikiatri telah merumuskan perayu menghidap penyakit ‘schizophrenia’ yang merupakan sejenis penyakit mental yang digejali oleh pemikiran seperti delusi (iaitu kepercayaan palsu yang dipegang teguh tanpa boleh digoyah langsung), halusinasi, kecelaruan perasaan, perubahan tingkah laku serta kemerosotan fungsi psikososial.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhana Khalid berkata, perbuatan (tingkah laku) perayu menunjukkan bahawa dia berada dalam keadaan yang waras ketika menyebabkan kematian tersebut.

“Keterangan saksi pendakwaan kelima (SP5) yang merupakan jiran si mati memberitahu bahawa beliau nampak si mati terbaring dan perayu ada duduk mencangkung di sebelah si mati sambil berkata: “Saya minta maaf Pok Ki, kita bunuh doh dia (merujuk kepada si mati)”.

“SP2 seorang anggota polis dalam keterangan menyatakan bahawa semasa hendak menangkap perayu yang sedang berlegar-legar di tempat kejadian, perayu mengatakan 'aku nak serah diri' sambil menghulurkan tangannya ke hadapan.

"Selain itu, penemuan senjata yang digunakan untuk menetak si mati adalah atas maklumat perayu sendiri dan ia diterima oleh mahkamah,“ katanya. - Bernama