Status kampus IPG Tawau kekal: Maszlee

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bergambar bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Politeknik Tawau selepas mengadakan perjumpaan dengan penuntut IPG dan Politeknik sempena program Tindak Susulan Isu-Isu Pendidikan Negeri Sabah di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bergambar bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Politeknik Tawau selepas mengadakan perjumpaan dengan penuntut IPG dan Politeknik sempena program Tindak Susulan Isu-Isu Pendidikan Negeri Sabah di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Status Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau akan dikekalkan melihat kepada keperluan dan sumbangannya kepada sektor pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Katanya, adalah menjadi harapan agar IPG itu akan pergi lebih jauh dan terus menyumbang kepada sektor pendidikan negara.

"IPG ini bukan hanya sehingga tahun 2020 tetapi boleh lebih lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau prasarana dan meluangkan masa bersama warga pendidik dan pelajar di kampus Politeknik dan IPG Tawau di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat ura-ura di bawah kerajaan terdahulu kononnya Kampus IPG Tawau akan ditutup.

Ketika ini, IPG Tawau dan Politeknik Tawau yang terletak di Balung, Tawau, berkongsi kampus.

Dalam pada itu Maszlee berkata, tiada istilah perkongsian kampus IPG Tawau dan Politeknik Tawau sebagai daif sebaliknya perkara itu perlu dilihat sebagai satu perkongsian sumber yang bijak dan boleh dijadikan model kepada universiti awam atau swasta yang lain.

"Perkongsian (IPG dan Politeknik) ini boleh dijadikan model bahawa bersama dalam satu tempat itu tidak menjadi masalah kepada perkongsian sumber.

"Tengok pada bangunan baru ini tesergam indah, dewan ini tidak daif serta perpustakaan dalam kampus lengkap dan selesa," katanya menjawab soalan wartawan mengenai sama ada perkongsian IPG Tawau dan Politeknik Tawau alam satu kampus sebagai daif.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mazslee berkata inisiatif Politeknik Tawau menawarkan program Diploma Pengurusan Rekreasi dapat membantu melahirkan tenaga pakar dalam industri pelancongan.

"Kita juga harapkan program sedemikian dapat membantu visi kerajaan untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan yang utama," katanya dan menambah, ketika ini Program Pengurusan Pelancongan turut ditawarkan di Politeknik Tawau.

Dalam hal berkaitan penurunan kuasa autonomi pendidikan daripada kerajaan pusat kepada negeri, Maszlee berkata pihaknya masih dalam fasa perbincangan dengan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah.

"Tuntutan autonomi masih dibincang, dan rakyat Sabah bertuah kerana kerajaan negeri dan menteri pendidikan yang prihatin terhadap isu pendidikan," katanya.

Maszlee sedang melakukan lawatan kerja dua hari ke Sabah, hari ini dan esok, bagi melihat keadaan lebih 480,000 pelajar serta penempatan sekolah daif di kawasan pedalaman.- Bernama